Buletin

BUAT PART TIME JUAL NOMBOR PLAT PALSU. PENDAPATAN LEBIH RM62K

Seorang lelaki berusia 46 tahun ditahan polis kerana menjual nombor plat kereta palsu di Thailand. Lelaki yang memperoleh pendapatan lebih 50,0000 baht (RM62,350) itu memberitahu ia adalah cara mudah untuk mencari rezeki.

Ronnachai ditahan di kediamannya dan mengaku salah, sambil menjelaskan bahawa ini adalah kerja sambilan. Dia telah menjual nombor plat palsu itu selama lima tahun pada harga bermula 1,000 baht (RM125) setiap satu.

Selain pemandu rawak, pelanggannya terdiri daripada pemandu teksi, pemandu kereta servis di lapangan terbang serta penunggang motosikal. Dia menjalankan aktiviti tersebut di atas talian, melalui panggilan telefon mahu pun terus berhubung dengannya di rumah.

Pesuruhjaya Polis Diraja Thai, Damrongsak Kittiprapas mengarahkan siasatan khas terhadap plat lesen palsu selepas geng pengedar dadah dikesan menggunakan nombor plat palsu untuk mengelak dari ditahan polis.

Polis menyerbu rumah suspek di wilayah Pathum Thani, di Bangkok pada 1.30 tengah hari. Mereka menemui dua plat lesen teksi palsu berwarna kuning serta lebih 300 peralatan yang digunakan untuk menghasilkan plat.

Menurut laporan, Ronnachai turut didakwa atas kes berkaitan pemilikan senjata api secara haram 11 tahun lalu.

Ronnachai akan didakwa mengikut Seksyen 265 Undang-undang Jenayah: memalsukan dokumen rasmi. Dia bakal berdepan hukuman penjara dari enam bulan hingga lima tahun dan denda sebanyak 10,000 (RM1,247) hingga 100,000 baht (RM12,470).

Polis memberi amaran kepada orang ramai yang menggunakan nombor plat kereta palsu. Mengikut Seksyen 268 Undang-undang Jenayah, mereka boleh berdepan hukuman penjara dari enam bulan hingga lima tahun dan denda 10,000 (RM1,247) hingga 100,000 baht (RM12,470).

Google ads
Back to top button