
NISSAN R35 GT-R ‘PALSU’ BUATAN THAILAND JADI SENSASI INTERNET
Jika diperhatikan dari jarak jauh, tiada siapa menyangka Nissan R35 GT-R yang didedahkan YouTuber dari Thailand merupakan jentera palsu.
Biarpun, terpampang besar pelekat FAKE pada bahagian sisi kenderaan, orang ramai masih teruja melihat jentera terbabit.
Chad Bee menerusi saluran YouTube CB Media menunjukkan Nissan GT-R milik sahabatnya, Frank yang dijana RB26 turbocharge berbanding VR38 V6.

Dia mula memuat naik gambar kenderaan berkenaan pada Instagram Story sehingga meraih perhatian orang ramai.
Mungkin ramai tidak mengetahui, jentera tersebut merupakan Nissan Cefiro A31 tahun 1980-an yang dibikin menjadi R35.
Bahagian lampu utama, lip hadapan, pintu, penutup bahan api dan lampu belakang menggunakan komponen asli R35 GT-R.
Selain itu, bahagian lain badan jentera itu merangkumi panel gentian karbon yang dibangunkan syarikat Thailand, Karn Fiber.
Syarikat tersebut amat popular dalam membangunkan replika untuk beberapa jenis kenderaan.

Pemilik jentera berkenaan, Frank merupakan CEO Tuner Concept ingin memperlihatkan komponen suspensi kustom syarikatnya pada Bangkok International Auto Salon 2017.
Berikutan ia dibangunkan berdasarkan Cefiro, jentera itu tidak memiliki pacuan semua roda seperti R35 GT-R asli.
Frank membangunkan R35 GT-R FAKE kurang daripada AS$50,000 (RM210,850). – carscoops