Buletin

CAWANGAN PROTON 4S BARU DI JALAN KEBUN, KLANG

Vantage Speed Sdn Bhd telah merasmikan pembukaan cawangan 4Snya hari ini. Majlis dirasmikan oleh Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, dan turut dihadiri oleh barisan Pengurusan Kanan PROTON.


Vantage Speed telah beroperasi sebagai pengedar PROTON sejak 2009 dan mengendalikan cawangan 1S dan 2S di lokasi berasingan. Walau bagaimanapun, demi memenuhi keperluan dari PROTON yang bertujuan untuk memberikan kemudahan lebih baik kepada pelanggan sebagai pusat sehenti, pemegang saham Vantage Speed bersetuju untuk membuat pelaburan dalam perniagaannya itu sebagai sebuah pusat 4S.

Cawangan 2S yang pada asalnya milik Magnavision Sdn Bhd ditutup dan seluruh kawasan tersebut diubah suai menjadi pusat 4S yang baharu. Bagi cawangan 1S miliknya di Setia Alam pula dikekalkan bertujuan untuk terus memberi kemudahan kepada pelanggan sedia ada di sana.

Sebagai pengedar yang telah lama berkecimpung di dalam industri auto, keperluan untuk menyediakan servis yang baik dan cemerlang kepada pelanggan adalah satu kemestian. Menurut Dato’ Sri Tee Boon Kee, Pengarah Vantage Speed, “Apa yang paling penting adalah pelanggan suka berkunjung ke cawangan ini untuk membeli kereta.

Sebaik sahaja mereka membeli kereta, mereka juga suka untuk kembali kepada kami bagi perkhidmatan servis kereta. Walau bagaimanapun,
mungkin sukar untuk kami mencapai tahap kepuasan pelanggan itu sekiranya kami tidak beroperasi sebagai pusat sehenti. Sebuah cawangan 4S akan membolehkan kami berurusan dengan pelanggan secara lebih baik, dan dapat memahami keperluan mereka.

Justeru, keputusan untuk beroperasi sebagai cawangan pengedar 4S sememangnya pilihan yang tepat”. Kemudahan yang lebih baik, lokasi strategik, dengan pasukan yang lebih dinamik Cawangan ini yang terletak di kawasan perindustrian, di sepanjang jalan utama kedua di bandar, turut menyediakan pelbagai kemudahan untuk pelanggan.

Dengan kawasan seluas 2418 meter persegi, cawangan ini dilengkapi dengan 14 petak servis, 10 ruangan ketuk dan cat serta ruangan yang memuatkan sehingga 10 kenderaan di ruang pameran. Pelanggan turut selesa dengan ruangan tempat duduk yang luas, di mana boleh memuatkan 80 tempat duduk untuk mereka.

Selain itu, sama seperti cawangan PROTON yang lain, terdapat juga ruangan minuman, ruangan kanak-kanak, WIFI percuma dan kawasan istirahat pelanggan yang selesa untuk mereka berehat sambil menunggu kereta mereka diservis. 

Dato’ Sri Tee menambah, “Cawangan ini terletak di kawasan padat penduduk di Klang, dan mereka juga telah tahu akan kewujudan cawangan ini. Kawasan ini turut mempunyai pemilik Proton yang ramai dan mereka adalah sasaran pasaran yang tepat untuk kami menaik taraf untuk barisan kereta Proton yang baharu dan lebih menarik”. 

Di samping itu, cawangan ini juga mempunyai kakitangan yang berdedikasi untuk memenuhi permintaan pelanggan. Menurut Dato’ Sri Tee lagi, “Saya harus menekankan bahawa, selain terletak di lokasi yang strategik, kami juga mempunyai pasukan yang berkemahiran untuk mengendalikan cawangan ini, dari jualan sehinggalah ke servis.

Terdapat kakitangan khusus untuk memastikan pelanggan mendapat pengalaman yang baik dan menyeronokkan sepanjang mereka berurusan dengan kami untuk keperluan pembelian dan servis. Atas sebab ini, kami yakin kami sedang bergerak seiring di bawah pelan
PROTON ke arah kecemerlangan dalam servis, jualan dan pertumbuhan perniagaan. Bagi kami, kami menjangkakan peningkatan jualan dan servis lebih daripada 50%”.

Sehingga 31 Julai 2018, PROTON telah meluluskan sebanyak 93 cawangan untuk menaik taraf kepada 3S dan 4S. Ini merupakan pencapaian 85% berbanding sasaran untuk menaiktaraf sebanyak 109 cawangan pada Oktober tahun ini. Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif PROTON sangat positif dengan perkembangan yang berlaku di dalam Syarikat. 

“Saya gembira penambahbaikan cawangan berjalan seperti yang dirancang. PROTON berada dalam kedudukan yang sangat baik untuk membuktikan semula kehadirannya di pasaran. Kami yakin kami dapat mencapai peningkatan kelulusan sebanyak 109 cawangan menjelang bulan Oktober, atau mungkin lebih awal dari yang dijangkakan.

Apabila kita memulakan langkah untuk menaik taraf cawangan-cawangan kami, kami sentiasa memikirkan untuk memastikan pelanggan
mendapatkan pengalaman terbaik apabila mereka melangkah masuk ke PROTON. Matlamat kami sangat jelas, dan sekarang apa yang dirancang hampir berjaya direalisasikan, kami percaya cawangan-cawangan ini bersedia untuk menerima kedatangan SUV Proton pertama di pasaran, serta model-model yang lain pada masa akan datang”.

Bagi minggu ini sahaja, Syarikat telah menyaksikan dua daripada cawangannya, Chan Sow Lin dan Puchong dinaik taraf dengan penampilan yang lebih segar selaras dengan pelan perniagaan PROTON untuk mengubah semua rangkaian cawangannya bagi memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan. Chan Sow Lin merupakan cawangan 4S PROTON, sementara Puchong adalah cawangan bertaraf 1S.

Tags
Google ads
Back to top button