Artikel Pilihan

10 BUAH KERETA YANG MEMULAKAN HAYAT MEREKA SEBAGAI JENTERA LUMBA

Sebagaimana yang kita semua sedia maklum, sukan lumba motor merupakan medan pembangunan kepada kereta-kereta produksi di seluruh dunia. Teknologi berasaskan perlumbaan akan membolehkan para jurutera menghasilkan kereta yang lebih lasak dan teguh untuk kegunaan seharian. Peralatan seperti pengecas turbo dan brek cakera merupakan contoh yang dikembangkan dari teknologi perlumbaan ke kereta jalanan biasa. Tapi kadang kala aturan ini menjadi terbalik. Rupanya ada juga kereta yang dihasilkan daripada jentera perlumbaan. Dengan kata lain mereka lahir sebagai kereta lumba sebelum dikembangkan kepada kereta produksi. Kita tengok 10 daripada model yang dimaksudkan.

Ford GT

Ini kisah lama bagaimana Henry Ford merasa kecewa dengan tindakan Enzo Ferrari yang enggan menjual kepentingan Ferrari dan kepentingan mereka dalam pasukan lumba kepada Ford. Ford kemudian bertekad untuk mengalahkan Ferrari di litar perlumbaan dan segera membangunkan Ford GT. Untuk beberapa tahun mereka terus gagal sehinggalah tahun 1966 Ford akhirnya berjaya dengan bantuan Carroll Shelby. Ford GT40 terus mendominasi perlumbaan Le Mans dengan kejayaan tempat pertama, kedua dan ketiga. Untuk meraikan kejayaan mereka, Ford telah mengeluarkan versi jalanan Ford GT40 dan ia terus menjadi sejarah dalam dunia automobil.

 

Gord GT, sekali lagi

Siapa yang kata sejarah tak mungkin berulang memang silap besar. Kali ini walaupun bukan dikecewakan Ferrari seperti 50 tahun dulu, Ford mengumumkan yang mereka akan sekali lagi bertanding dalam perlumbaan Le Mans dengan menggunakan Ford GT baru. Mereka juga mengumumkan untuk mengeluarkan versi jalanan untuk jualan. Dan dalam tahun 2016, sekali lagi Ford berjaya menewaskan Ferrari dalam kelas GTE di Le Mans. Setahun kemudian mereka menjadi kuasa dominan dalam perlumbaan dan versi jalanan Ford GT40 dihasilkan lengkap dengan suspensi perlumbaan, sangkar keselamatan built-in dan enjin Ecoboost dengan pengecas turbo sama seperti versi perlumbaan.

Hyundai i30N

Siapa sangka satu hari Hyundai akan mampu menghasilkan sebuah model hot hatch yang sungguh dramatik. Ia menjadi kenyataan bila Dr. Albert Bierman, yang berasal dari divisi M BMW menyertai syarikat Korea tersebut. Beliau cukup fokus untuk menghasilkan kereta berprestasi tinggi dan hasilnya lahirlah sebuah hot hatch yang dinamakan i30N. Sebelum versi jalanan dihasilkan, i30N telah dihantar ke Eropah untuk menyertai perlumbaan tahan lasak Nurgburgring 24-jam untuk membuktikan kehebatan kereta ini. Beberapa bulan selepas itu versi jalanan dihasilkan dan terus menarik perhatian peminat di seluruh dunia.

Ferrari 250

Ferrari memang cukup sinonim dengan sukan motor. Banyak model Ferrari dihasilkan dari versi perlumbaan dan dihasilkan dalam bentuk homologasi. Ferrari 250 contohnya mula-mula sekali diperkenalkan dalam perlumbaan Mille Miglia 1952 dan dikenali dengan nama 250 S Berlinetta. Walaupun kurang laju berbanding Mercedes di garisan lurus, 250 S berjaya mengatasi mereka dan muncul juara. Versi jalanan dikeluarkan setahun kemudian dengan nama Ferrari 250 MM (Mille Miglia).

Lexus LFA

Walaupun Lexus LFA mula dikeluarkan pada bulan Disember 2010, prototaip asalnya sudahpun mula menyertai perlumbaan sejak awal 2008. Ia turut menyertai perlumbaan tahan lasak Nurburgring 4-jam VLN. Ia berjaya mencatatkan kedudukan di tangga 77 daripada 200 penyertaan. Ia terus menyertai beberapa lagi siri perlumbaan sebelum diproduksikan.

Ferrari 288 GTO

Ferrari 288 GTO ini sebenarnya tidak pernah menyertai perlumbaan. Ini kerana sebaik sahaja ia dihasilkan, perlumbaan Group B telah dibatalkan atas alasan keselamatan. Tapi ia telah menjadi model homologasi kepada jentera lumba 308 GTB. Pelbagai modifikasi dilakukan untuk memindahkan teknologi perlumbaan 308 GTB kepada 288 GTO. Walaupun ia tidak pernah berlumba tapi ia wajar dihormati kerana dibangunkan khusus untuk perlumbaan sebelum diproduksikan.

BACA: PERNAH DENGAR LISTER MOTOR COMPANY? TAK PERNAH? SAMALAH

Subaru Impreza WRX STI

Pada Tokyo Motor Show 2007, Subaru menayangkan sebuah model hatchback baru, Impreza WRX STI lengkap dengan segala pelekat WRC yang menjadi kebanggaan Subaru selama ini. ia kemudiannya menyertai perlumbaan WRC pada tahun 2008, tahun terakhir penyertaan Subaru. Versi jalanan dihasilkan pada bulan Mac tahun yang sama tetapi kurang mendapat sambutan dan Subaru kembali kepada model sedan sehingga sekarang.

Dauer-Porsche 962

Porsche 962 merupakan sebuah kereta lumba yang dominan sekitar tahun 80-an dan membolot kejuaraan dalam banyak perlumbaan di seluruh dunia. Jochen Dauer telah mengubahsuai model perlumbaan 962 kepada versi jalanan sekitar tahun 1993-1997. Antara perubahan yang dilakukan ialah suspensi hidraulik, tempat duduk kedua, kemasan kulit, ruang bagasi dan pemain DVD untuk model-model terakhir. Menariknya lagi Porsche menggunakan model yang diubahsuai Dauer dan mendakwanya sebagai homologasi dan membolehkan mereka menyertai kelas GTE perlumbaan Le Mans.

Jaguar XKSS

Jaguar XKSS mempunyai sejarah tersendiri bila 9 daripada 25 unit asal terbakar dalam satu kebakaran pada tahun 1957. Jaguar terpaksa membinanya kembali kepada spesifikasi asal untuk menggenapkan kembali turutan nombor casis asal. XKSS sebenarnya dihasilkan daripada model perlumbaan D-Type tahun 50-an yang telah menyapu bersih kejuaraan Le Mans tahun 1955, 1956 dan 1957. Menariknya XKSS ini sebenarnya dihasilkan dari lebihan casis D-Type.

Lancia Stratos

Lancia Stratos merupakan sebuah kereta lumba berbentuk leper yang cukup ringan, kompak serta boleh bergerak dengan kelajuan yang cukup tinggi. Sudah tentu bukan satu rahsia yang ia sebenarnya dihasilkan untuk mendominasi perlumbaan WRC dan ia memang berjaya dari tahun 1974-77. Tapi karier perlumbaan kereta ini bermula seawal tahun 1972 dengan model prototaip.

Google ads
Back to top button