
BMW R 1300 RT 2026 DIUMUMKAN – 145HP, 149NM
Sejak era 70an lagi, motosikal BMW RT merupakan petanda aras bagi segmen tourer dan R 1300 RT generasi terbaru telah menetapkan petanda aras yang lebih tinggi bagi tahun 2026.

Ketika BMW memulakan portfolio enjin boxer bersesaran 1300cc dengan R 1300 GS, kemunculan RT telah pun dijangka namun pengeluar motosikal Jerman itu memakan masa dua tahun untuk R 1300 RT membuat debut global.

Hasilnya, R 1300 RT menawarkan 145hp @ 7,750rpm dan 149Nm pada 6,500rpm. Angka itu menunjukkan kenaikan sebanyak 9hp dari R 1250 RT.
Menariknya, BMW bukan sekadar meningkatkan sesaran enjin sebanyak 50cc sebaliknya turut mengubah kedudukan beberapa komponen termasuk posisi transmisi yang kini terletak dibawah enjin berbanding di belakang sebelum ini. Langkah itu secara tak langsung mewujudkan unit yang lebih kompak.

Selain itu, walaupun bore lebih besar namun stroke telah dipendekkan sebanyak 3mm sekaligus membawa kepada unit boxer yang serba baharu.
Namun, BMW ada mengekalkan beberapa teknologi dari R 1250 RT termasuk sistem penyejuken cecair dan udara (air/liquid-cooled) serta teknologi ShiftCam.

Casis juga serba baharu, beralih dari rekaan tubular-steel kepada sheet-metal yang dipadankan dengan subframe aluminium jenis bolt-on. Bahagian depan pula menempatkan suspensi BMW Evo Telelever (seperti yang ada pada GS) sementara bahagian belakang dilengkapi dengan Evo Paralever dengan penggunaan shaft sebagai pemacuan akhir.

Sementara itu, R 1300 RT hadir dengan suspensi elektronik BMW Dynamic ESA secara standard namun dengan tawaran tambahan untuk naik taraf kepada sistem Dynamic Chassis Adaption (DCA). DCA membolehkan tetapan casis dibuat dengan hanya mengubah mod menunggang.
Dalam pada itu, BMW turut menawarkan varian R 1300 RT dengan fungsi ASA (automated manual transmission) yang membolehkan penunggang menukar gear (tanpa klac) secara automatik (twist & go) dan manual (shifter kaki).

Tidak dilupakan, seperti model RT terdahulu, model terbaru ini turut hadir dengan luggage berkapasiti 27L secara standard. Selain itu, R 1300 RT ini juga menawarkan paparan TFT 10.25-inci yang boleh disambugn ke telefon pintar.
Berat keseluruhan jentera pula diletakkan pada 281kg sekaligus 2kg lebih berat berbanding generasi sebelumnya.
GALERI: BMW R 1300 RT 2026


















