Buletin

CITROEN LEBAR SAYAP KE PASARAN INDONESIA, PENGELUAR DARI EROPAH MULA BUKA MATA

Indonesia ialah pasaran automotif yang menarik untuk pemain global, dengan pengeluar Jepun seperti Toyota, Daihatsu dan Mitsubishi sebahagian besarnya mendominasi pasaran berkenaan.

Kini, pengeluar dari Eropah, Citroën milik Stellantis melancarkan jenamanya di negara keempat paling ramai penduduk di dunia itu. Jadi mengapa pasaran baru muncul ini semakin penting kepada pembuat kereta Barat?

Indonesia adalah rumah kepada beberapa tapak pembuatan kereta, terutamanya yang dikendalikan oleh syarikat Asia. Pada 2021, Indonesia mengeluarkan kira-kira 889,700 kereta penumpang, meningkat berbanding 551,000 pada tahun sebelumnya. Di Asia Tenggara, ia merupakan antara pasaran automotif  serta ekonomi terbesar di rantau ini.

Hakikat pemilikan kereta yang rendah berbanding negara jiran menjadikan Indonesia sasaran menarik bagi jenama asing. Awal tahun ini, Menteri Industri Negara, Agus Gumiwang Kartasasmita berkata kadar pemilikan kenderaan yang begitu rendah boleh menawarkan kelebihan tersendiri kepada pembuat kereta.

Kerajaan meningkatkan pelaburannya dalam infrastruktur jalan raya, di mana ia bukan satu tugas mudah memandangkan Indonesia adalah rumah kepada kira-kira 17,000 pulau serta landskap automotif yang lebih luas. Ia juga berminat untuk menarik pelaburan dari luar negara dan mahu meningkatkan pasaran kenderaan elektrik (EV).

Pengeluar kereta Eropah seperti BMW, Mercedes-Benz dan Peugeot hanya menjual sebahagian kecil kenderaan berbanding peneraju pasaran seperti Toyota yang menjual sekitar 295,770 kenderaan di sana pada 2021.

Oleh itu, Citroën merancang untuk melancarkan model pertamanya di Indonesia tahun depan. Ia menjalin kerjasama dengan Kumpulan Indomobil yang akan bertanggungjawab sepenuhnya untuk mengedarkan kenderaan Citroën. Antara model yang akan dibawa masuk ialah SUV, kereta kecil dan EV melibatkan model-model seperti C5 Aircross, C3 baharu serta ë-C4.

Tawaran model awal Citroën bukanlah satu kebetulan. Kenderaan mesra keluarga adalah antara kereta terlaris di Indonesia, kebanyakannya dikuasakan oleh bahan api fosil. Tetapi kerajaan Indonesia juga mahu meningkatkan bahagian kenderaan elektrik kerana pencemaran udara di negara itu antara yang paling teruk di dunia.

Penjualan EV di Indonesia dilihat kian meningkat. Untuk terus menjana minat dalam kalangan penduduk, negara itu bakal memperkenalkan insentif EV pada 2023 untuk memacu mobiliti elektrik dan menjadikan kenderaan elektrik lebih berdaya saing dari segi kos.

Walau bagaimanapun, kereta elektrik di negara tersebut bukan sahaja terpaksa bersaing dengan enjin pembakaran dalaman (ICE), malah dengan kenderaan dua roda seperti motosikal dan skuter elektrik.

Sebagai pengeluar nikel terbesar dan pembekal utama bijih kobalt dan tembaga, Indonesia sememangnya memainkan peranan penting dalam peralihan EV global. Gangguan rantaian bekalan disebabkan oleh perang di Ukraine serta sekatan COVID-19 di China telah menonjolkan Indonesia sebagai lokasi yang baik untuk mempelbagaikan sumber bekalan.

Presiden Indonesia, Joko Widodo mahu menarik pelaburan daripada jenama kereta Eropah. Dalam temu bual dengan akhbar Jerman Handelsblatt, beliau berkata Indonesua adalah ‘lokasi pengeluaran yang ideal’ untuk pembuat kereta.

Walaupun EV mewakili jumlah yang kecil di Indonesia dan bilangan stesen pengecas masih kekal rendah, namun kerajaan telah menghasilkan pelan hala tuju elektrifikasi. Ia mahu mengeluarkan lebih 600,000 unit EV beroda empat secara tempatan menjelang 2030.

Adalah adil untuk menyatakan bahawa pasaran EV Indonesia masih di peringkat awal, tetapi adalah merugikan untuk menolak potensi pertumbuhannya. Kehadiran Citroën di Indonesia mungkin tidak menggegarkan pasaran, tetapi ia adalah petunjuk bahawa momentum semakin meningkat dan negara itu semakin menarik perhatian antarabangsa.

Google ads
Back to top button