VOLVO AKAN KURANGKAN MODEL SEDAN DAN WAGON. FOKUS KEPADA SUV
Volvo Cars mengumumkan bahawa ia akan mengurangkan fokus kepada penghasilan model sedan dan wagon. Sebaliknya, syarikat dari Sweden itu menyatakan hala tuju syarikat kini mahu menghasilkan lebih banyak model elektrik pada masa depan.
Jadi, model sedan dan wagon tersebut akan ditukar kepada SUV dan crossover.
“Kami perlu kurangkan varian sedan dan wagon. Sekarang kami ada banyak model wagon seperti V60, V90 dan Cross Country, selain pelbagai saiz sedan. Kedua-dua model ini tetap kami tawarkan, cuma tidaklah banyak,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Volvo Cars, Håkan Samuelsson.
Hampir 75 peratus jualan Volvo kini terdiri daripada SUV. Volvo juga mengakui usaha untuk menjual sedan dan wagon semakin sukar biarpun jenama itu cukup terkenal dengan kenderaan begitu sejak berdekad-dekad lamanya.
Kenderaan tinggi ialah apa yang dimahukan oleh pasaran pada tahun 2020 dan Volvo mengikuti kehendak tersebut. Buktinya, Volvo baru sahaja melancarkan model eletrik pertamanya, C40 Recharge yang dibina menggunakan platform XC40 dengan rekaan coupe.
Sebelum ini, timbul khabar angin yang Volvo bakal membangunkan sebuah SUV flagship XC100. Samuelsson juga mengesahkan model aras mula yang dikenali sebagai XC20 atau C20 sedang dalam pembinaan. Model itu akan dibina di atas platform Geely.
Samuelsson menjelaskan perubahan hala tuju kepada penghasilan kenderaan elektrik memberi kesan nyata ke atas bahasa reka bentuk Volvo. Pertama, kereta keluaran Volvo akan jadi lebih tinggi. Ini kerana rekaan itu memudahkan pek bateri dipasang berbanding sedan.
Kedua, bahasa rekaan kenderaan Volvo akan jadi lebih bersepadu, kurang berkotak dengan garis badan yang lebih lembut.
Biarpun begitu, Volvo pasti tidak akan menamatkan semua model sedan dan Wagon. Cuma pelanggan tidak ada banyak pilihan apabila hendak membeli model S atau V berbanding sekarang.
- BACA: VOLVO C40 RECHARGE. EV PERTAMA VOLVO, VERSI COUPE XC40, 420KM SEKALI CAJ, JUAL SECARA DALAM TALIAN SAHAJA
- BACA: GEELY DAN VOLVO TAK JADI BERGABUNG. TUBUH ENTITI BAHARU UNTUK BANGUNKAN RANGKAIAN KUASA
- BACA: IKLAN PILIHAN: WAGON PADU VOLVO V70 CONVERT 2.3 T5 SEDIA UNTUK DILEPASKAN
- BACA: BIJAK SUNGGUH CARA VOLVO SETELKAN TURBOLAG