PUTIN HADIAHKAN JONG UN AURUS SENAT LIMO MEWAH – SEKATAN PBB DAH KE LAUT KE?
Pemimpin Korea Utara baharu sahaja terima sebuah limosin baharu sebagai tambahan kepada koleksi beliau. Limosin Aurus Senat mewah itu adalah hadiah daripada Valdimir Putin selepas lawatan Jong Un ke Rusia baru-baru ini. Ia mungkin sebagai hadiah antara dua pemimpin tapi tak melanggar sekatan PBB ke? Kalau kami melawat Rusia boleh dapat hadiah apa ye?
Pemerhati politik menyifatkan pemberian ini sedikit sebanyak melanggar sekatan ke atas Korea Utara yang turut disokong oleh Rusia. Peraturan sekatan menyatakan sekatan ke atas barangan mewah dari dieksport ke Korea Utara sehinggalah mereka membatalkan program senjata nuklear.
Jurucakap Kremlin menyatakan yang Putin memilih untuk menghadiahkan Jong Un limosin tersebut selepasa lawatan beliau ke Rusia. Sewaktu lawatan, Jong Un dibawa menggunakan limosin Senat milik Putin yang menyatakan minat beliau terhadap kereta tersebut. Pergh, puji je terus dapat kereta. Kami pun minat dengan jet pejuang Rusia. Hehe.
Adik perempuan Jong Un, Kim Yo Jong menerima limosin tersebut bagi pihak abangnya Ahad lepas dan menyatakan ia menunjukkan hubungan istimewa antara dua orang pemimpin. Ia juga menunjukkan peningkatan sokongan antara dua negara.
Sebenarnya kalau difikirkan tiada apa yang pelik sebab kedua negara tersebut kini menghadapi tekanan sekatan daripada AS dan blok barat lain. Bahkan dalam beberapa tahun kebelakangan ini Rusia dan China tidak bersetuju untuk mengenakan sekatan lebih keras ke atas Korea Utara berikutan ujian nuklear yang dijalankannya. Ah, ini semuanya politik dunia dan AS seperti biasa akan bertindak seperti polis dunia.
Baik fokus pada kereta je untuk keamanan dunia. Aurus Senat ni agak menarik sebab ia dikuasakan enjin 4.4 liter V8 yang dibangunkan bersama dengan Porsche. Hah, Porsche kau. Ia mampu menghasilkan sekitar 590 hp kuasa maksima. Cis kalau macam ni kami pun nak beli Senat ni kalau dipasarkan disini.