Buletin

CUPRA ATECA SE, SUV DENGAN EKZOS AKRAPOVIC

CUPRA, satu nama yang biasa didengar jika anda biasa mengikut perkembangan kereta SEAT dan sukan permotoran.

Bermula 2018, CUPRA diasingkan daripada SEAT dan menjadi jenama tersendiri yang fokus kepada model dengan gaya dan kuasa berprestasi.

SEAT Sport yang mengendalikan sukan permotoran pula dijenamakan sebagai SEAT Racing.

Walaupun baharu, jenama CUPRA menerima sambutan hangat dengan jualan pada tahun 2018 mencecah 14,400 unit.

Walaupun fokusnya kepada gaya dan kuasa, CUPRA tidak menghadkan tawarannya untuk peminat kereta penumpang sahaja.

Pada Pameran Kenderaan Antarabangsa Geneva (GIMS) 2019, CUPRA mempamerkan SUV CUPRA Ateca Special Edition.

Ini adalah sebuah SUV dan tiada masalah untuk CUPRA meningkatkan tarikan gaya dan kuasa enjin kenderaan keluarga tersebut.

Menambahkan lagi keistimewaan SUV ini ialah ia tidak dikeluarkan secara besar-besar, cukup dalam jumlah terhad sahaja.

CUPRA Ateca Special Edition dilengkapi enjin 2.0 liter TSI dengan kuasa 300 PS dan tork 400 Nm.

Angka ini sebenarnya berada dalam segmen kereta hatchback atau sedan sport.

Enjin turbo tersebut dipadankan bersama transmisi tujuh kelajuan DSG, sistem pemanduan AWD 4Drive dengan karakter stereng yang lebih sporti.

Satu perkara menyerlah pada SUV ini ialah keputusan CUPRA untuk menggunakan sistem ekzos berprestasi Akrapoviç.

Ini keputusan yang jarang didengari untuk sebuah kereta keluaran kilang apatah lagi bagi SUV.

Penggunaan set ekzos tersebut membolehkan berat kereta dikurangkan kepada 7 kg dan semestinya dengan deruman lebih asyik.

Pada bahagian luar, SUV sport ini disembur warna Graphene Grey dan dengan roda aloi bersaiz 20 inci dan brek Brembo disebaliknya.

Bahagian belakang ditambah spoiler halus yang memberikan lebih kuasa aerodinamik.

Dalaman SUV ini tidak kurang hebat, pemandu dan penumpang sisi dipasangkan kerusi bucket sport.

Sekali lagi, jarang sebuah SUV dipasangkan kerusi begini.

Kesemua tempat duduk depan dan belakang dan panel pintu dibalut dengan Alcantara berwarna Petrol Blue.

Perincian dalaman diteruskan pada bingkai hitam pada outlet udara dan konsol tengah dan kemasan Gentian Karbon Tembaga pada papan pemuka dan kawalan suhu.

Menarik tetapi jenama SEAT tidak dijual di pasaran tempatan apatah lagi CUPRA.

Mungkin ada syarikat pengimport bebas berani membawanya dari United Kingdom, lagi pula enjin yang digunakan adalah daripada kumpulan Volkswagen.

Google ads
Back to top button