Buletin

CURI ALA FILEM HOLLYWOOD. REMPUH PINTU KEDAI LARIKAN KERETA

Sejak kebelakangan ini, banyak kes curi kenderaan. Terbaharu, ia melibatkan sebuah Bentley Continental GT yang dilarikan dari ruang pameran.

Menurut Fox 17, kejadian yang berlaku di Holland, Michigan Amerika Syarikat itu bermula apabila sekumpulan pencuri memecah masuk Elhart Hyundai.

Mereka berjaya melarikan empat buah kenderaan termasuk Hyundai Palisade dan Genesis G70. Selain itu, Chevrolet Impala dan Ford Fusion turut menjadi mangsa mereka.

Walaupun, sudah mencuri beberapa kenderaan, pencuri berkenaan masih belum berpuas hati.

Dengan menggunakan kenderaan curi, mereka telah memecah masuk pengedar kereta European Autohaus pula dengan menggunakan besi.

Mereka kemudian menggeledah kedai itu mencari kunci dan bernasib baik apabila menjumpai kunci Bentley Continental GT.

Apa yang berlaku seterusnya agak mengejutkan. Pencuri berkenaan bertindak nekad merempuh pintu kedai untuk melarikan kereta tersebut.

Malangnya, ia tidak semudah yang disangka kerana kenderaan itu tersangkut pada bingkai pintu. Begitupun, selepas berusaha, pencuri berjaya melarikan Bentley itu.

Pasukan polis sempat tiba di lokasi kejadian semasa mereka cuba untuk melarikan diri dan adegan kejar-mengejar melibatkan kenderaan Ford Fusion. Pemandunya kemudian meninggalkan kereta dan melarikan diri.

MLive melaporkan terdapat lebih 36 kenderaan dicuri di kawasan pengedar Grand Rapids sepanjang kira-kira dua minggu lalu.

Bahkan, ada di antara kenderaan digunakan untuk melakukan jenayah lain. Polis telah melakukan beberapa tangkapan. – carscoops    

Tags
Google ads
Back to top button