Buletin

TOLAK DISKRIMINASI. PASUKAN F1 MERCEDES TUKAR WARNA SILVER ARROW JADI HITAM

Sejak penularan COVID-19 yang melanda dunia, hampir semua aktiviti kehidupan terhenti seketika kerana setiap negara sibuk untuk mengendalikan krisis kesihatan itu.

Perlumbaan Formula 1 (F1) tidak terkecuali merasai tempiasnya. Pihak penganjur perlu sentiasa menitikberatkan aspek keselamatan dan kesihatan semua yang terlibat termasuk para peminat sukan pemotoran.

Begitupun, perlumbaan F1 dijadual bakal membuka litar pada hari Ahad ini di Austria.

Bukan krisis kesihatan sahaja yang memberi impak kepada sukan pemotoran dunia ini. Malah, gerakan Black Lives Matter (BLM) yang berlarutan selama beberapa minggu di Amerika Syarikat turut menunjukkan impaknya.

Justeru, apabila perlumbaan bermula kelak, aura BLM akan hadir bersama pasukan Mercedes di litar. Pasukan yang berpangkalan di Jerman itu akan menukar Silver Arrow dengan warna hitam dalam menzahirkan sokongan kepada diversiti dan menolak sifat perkauman.

Mercedes memberi gambaran bahawa tindakan tersebut diambil bukan untuk memberi sokongan terhadap mana-mana pihak yang sedang bertelagah antara satu sama lain di Amerika Syarikat.

Ia sebaliknya lebih kepada pemberitahuan kepada umum tentang pentingnya mempertingkatkan kepelbagaian di dalam pasukan. Inisiatif itu juga dilihat sebagai kenyataan jelas bahawa Mercedes F1 sama sekali menentang perkauman dan semua bentuk diskriminasi.

Pasukan Mercedes dibarisi hampir semua lelaki kulit putih. Terdapat kira-kira tiga peratus sahaja tenaga kerja dikenal pasti sebagai kumpulan etnik minoriti, selain 12 peratus kakitangan wanita.

Menurut Mercedes, keadaan akan berubah pada masa hadapan apabila pihaknya akan mengumumkan pelancaran program diversiti pada hujung tahun ini. – autoevolution.

Tags
Google ads
Back to top button