DATSUN PERKENAL CROSSOVER PERTAMA DI INDONESIA – DATSUN CROSS, HARGA RM48K
Datsun baru sahaja memperkenalkan model crossover pertamanya di Indonesia yang dikenali sebagai Datsun Cross.
Didedahkan sebelum ini sebagai Go-Cross Concept, ia tampil dengan imej rugged dan kelegaan tanah setinggi 200mm. Ini merupakan model ketiga Datsun di republik tersebut selepas Datsun GO dan Datsu GO+.
Datsun menyifatkan Cross sebagai kenderaan yang sesuai untuk apa jua gaya hidup.
Cross digerakkan oleh enjin petrol bersesaran 1.2 liter. Ditawarkan dalam dua talaan kuasa berbeza iaitu 68hp, 78hp dan tork 104Nm (bergantung kepada varian), ia kemudian dipadankan dengan kotak gear manual atau transmisi CVT X-Tronic, pertama untuk model Datsun.
Jentera ini dihasilkan di kilang Nissan di Purwakarta, Jawa Barat.
Bahagian hadapan diserlahkan dengan gril jenis honeycomb, sepasang lampu kabus dan lampu nyalaan siang (DRL) LED. Dari sisi, rekaan dengan garis badan ringkas itu disempurnakan melalui rim aloi bersaiz 15 inci.
Dari segi dimensi, crossover berkapasiti tujuh tempat duduk itu adalah sepanjang 3,995mm, lebar 1,670mm dan tinggi 1,560mm dengan tapak roda 2,450mm.
Ruang dalaman dilihat cukup asas. Pemandu kini diberi stereng tiga jejari, kemasan ala karbon dan tempat duduk dengan jahitan berwarna perak. Ia juga menawarkan sistem infotainmen dengan skirn sentuh bersaiz 6.75 inci yang lebih moden.
Baris tempat duduk ketiga yang agak sempit dan hanya boleh digunakan untuk perjalanan jarak dekat turut disediakan.
Biarpun tidak menggunakan sistem pacuan semua roda(AWD), Cross bagaimanapun dilengkapi sistem brek anti-kunci, kawalan cengkaman, kawalan dinaik kenderan dan brake-limited slip differential. Ia juga dipasang dengan ciri lampu utama automatik dan dua beg udara.
Cross dijangka mula dijual di Indonesia pada Mac depan pada harga bermula 163 juta rupiah (RM48,110) seunit.
GALERI