Motosikal

HONDA LANCAR WINNER X 2022 DI PASARAN VIETNAM. 3 VARIAN, HARGA BERMULA RM8,446

Honda Vietnam Company (HVN) melancarkan motosikal generasi terbaharu Winner X 2022 yang didatangkan dengan tiga varian iaitu standard, special dan sports.

Motosikal terbaharu itu dijual pada harga: –

Honda Winner X 2022 Sports – VND 50,490,000 (RM9,253)

Honda Winner X 2022 Special – VND 49,990,000 (RM9,161)

Honda Winner X 2022 Standard – VND 46,090,000 (RM8,446)

Varian paling mahal dan padu, Sports ditawarkan satu warna sahaja iaitu hitam/merah.

Bagi model Special pula, ia mendapat sentuhan tiga warna pilihan hitam/emas, perak/hitam/hijau dan merah/hitam/hijau.

Model Standard hadir dengan empat warna pilihan iaitu hitam, hitam/merah, hitam/putih dan hitam/perak.

Winner X 2022 menampilkan rekaan dipertingkatkan yang lebih menarik dan sporty dengan kapasiti tangki 4.5 liter.

Rekaan berbentuk V pada bahagian hadapan menyerlahkan lagi sisi maskulin dan aerodinamik kapcai terbaharu itu.

Selain itu, bahagian lampu signal mendapat sentuhan rekaan baharu malah kesemua sistem pencahayaan hadir dengan teknologi LED.

Bahagian belakang turut kelihatan lebih slim berbanding model terdahulu dalam memberi penampilan berjiwa ‘muda’.

Sudut muncung ekzos juga dilaraskan ke bawah sebanyak 20 darjah berbanding model terdahulu untuk memberi keselesaan kepada penunggang dan kenderaan lain di belakang.

Honda Winner X 2022 mendapat khidmat enjin empat lejang satu silinder tunggal bersesaran 149.1cc DOHC dengan sistem penyejukan cecair dan teknologi pancitan bahan api PGM-FI dipadankan transmisi enam kelajuan.

Ia mampu menjana kuasa mencecah 11.5kW @ 9,000 rpm dan tork 13.5Nm @ 6,500 rpm.

Kesemua varian terbaharu itu dilengkapi sistem kunci pintar dan paparan digital memaparkan informasi kepada penunggang.

Varian Sports dan Special didatangkan port pengecas USB, sistem brek ABS dan rantai jenis O-ring.

Winner X 2022 dijangka memasuki pasaran Vietnam pada bulan Januari tahun hadapan. – hondavietnam

GALERI:

Google ads
Back to top button