Buletin

DATUK NASH LEFTHANDED KEMALANGAN, KEADAAN STABIL

Penyanyi, Datuk Jamaludin Elias atau lebih dikenali sebagai Nash cedera di muka dan sakit dada selepas SUV Toyota Harrier dinaikinya terbabas di Kilometer 250.8 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara di Seremban petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, Nash berada dalam kenderaan terbabit bersama pemandunya berusia 33 tahun ketika dalam perjalanan dari Johor ke Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata, kenderaannya itu dikatakan melanggar lopak air dan menyebabkannya hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar tembok penghadang jalan di sebelah kiri lebuh raya.

“Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami luka di muka dan sakit dada, manakala pemandunya pula mengalami kecederaan ringan.

“Penyanyi itu dibawa oleh ambulans Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sembilan ke Hospital Tuanku Ja`afar (HTJ) bagi menerima rawatan,” katanya.

Dalam pada itu, Nash memberitahu dia dalam keadaan stabil dan perlu dijahit pada bahagian bibir.

 “Cuma sakit sangat urat di belakang saya. Rasa macam tegang sangat. Memang sakit. Sakit sangat-sangat,” katanya dalam satu hantaran video di Facebook ketika dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), Seremban, Negeri Sembilan.

Dia turut memohon doa orang ramai. – HM

Google ads
Back to top button