Artikel PilihanMotosikal

DIMANAKAH LAGENDA-LAGENDA DUNIA 500CC BERADA SEKARANG?

Mereka merupakan insan-insan terpilih yang telah berjaya menguasai pentas GP motosikal dunia kategori 500cc, kelas tertinggi dari perlumbaan motosikal terhebat dunia satu ketika dahulu. Mereka bukannya penyanyi ataupun peserta pertandingan realiti yang bersuara serak-serak lemau tetapi mereka telah menghiburkan peminat perlumbaan motosikal di seluruh dunia. Kalau ada yang tak kenal dengan nama-nama seperti Mick Doohan, Giacomo Agostini dan Alex Criville baik korang main bola kaki tiga je lah.

  1. Pencipta Rekod

Dengan rekod 122 kemenangan Grand Prix dan 15 kejuaraan bertaraf dunia, Giacomo Agostini bukanlah calang-calang pelumba. Sungguhpun rekod penyertaan GP kini dipegang oleh Valentino Rossi tetapi Agostini telah terlebih dahulu mencipta nama sebagai pemegang rekod paling banyak. Bintang dari Itali ini pernah menyertai perlumbaan kereta tetapi kurang berjaya.

Beliau kemudiannya pernah menjadi pengurus pasukan perlumbaan untuk Yamaha dan Cagiva. Dengan semangat untuk menerokai bidang perniagaan, Agostini kini menjadi duta produk kepada Qu Puteh…. maaf salah taip. Beliau adalah duta kepada Dainese, MV Agusta dan Yamaha – jenama yang membawa beliau memenangi kejuaraan 500cc kali terakhir pada tahun 1975.

  1. Pemecah Tradisi

Kenny Roberts merupakan seorang pelumba Amerika Syarikat yang datang ke Eropah untuk menyertai perlumbaan 500cc dan berjaya memenangi perlumbaan kelas 500cc sebanyak tiga kali sungguhpun tanpa mengetahui tentang latar belakang litar yang bakal beliau hadapi.

Selepas bersara Roberts menubuhkan syarikat kejuruteraan perlumbaan berasaskan Formula Satu. Beliau kemudian membangunkan motosikal 3-selinder 2-lejang untuk kelas 500cc GP dunia yang dikenali dengan nama KR3. Dengan pengenalan MotoGP pada tahun 2002 mereka kemudiannya menbangunkan KR5 tapi akhirnya Kenny Roberts menarik diri dari MotoGP pada penghujung musim 2007.

  1. Mr. Presiden

Seorang lagi pelumba Amerika Syarikat dari California ialah Wayne Rainey. Beliau juga telah memenangi kelas 500cc sebanyak tiga kali berturut-turut dan berpeluang merebut kejuaraan keempat jika tidak terlibat dengan kemalangan di GP Itali pada tahun 1993 sekaligus menyebabkannya terpaksa berkerusi roda. Rainey kemudiannya menjadi pengurus pasukan kepada Pasukan Yamaha Marlboro.

Kini Rainey merupakan presiden kepada MotoAmerica, satu pertandingan yang diadakan bertujuan untuk mencungkil bakat-bakat baru untuk menyertai MotoGP. Siri perlumbaan dianjurkan mempunyai enam kelas berbeza dan yang paling menarik ialah kelas KTM RC 390. Inilah cara Rainey mencari pewaris untuk mewarisi takhta beliau.

  1. Lelaki Besi

Inilah pelumba paling tabah yang telah memenangi kejuaraan 500cc sebanyak lima berturut-turut. Mick Doohan merupakan pelumba ternama dari Australia dan telah terlibat dalam kemalangan serius di litar Assen sehingga doktor di sana mahu memotong kaki beliau untuk menyelamatkan nyawa. Bagaimanapun kaki beliau terselamat selepas menjalani rawatan radikal dari seorang doktor dari Itali. Doohan kemudian kembali berlumba sehingga berjaya menjadi juara dunia sebanyak lima kali.

Doohan sekali lagi terlibat dalam kemalangan di GP Sepanyol pada tahun 1999 dan kali ini menyebabkan beliau terpaksa bersara terus daripada berlumba. Beliau kemudiannya menceburi bidang perniagaan sewa pesawat dengan syarikat beliau yang dinamakan Platinum Flight Services.

  1. Penjinak Kuda

Alex Criville merupakan juara dunia pertama dari Sepanyol selepas menjuarainya pada tahun 1999. Beliau bagaimanapun terpaksa bersara pada tahun 2002 akibat maslaah kesihatan.

Selepas bersara Criville pernah menyertai perlumbaan rali kereta yang merupakan satu daripada hobi beliau sebelum beralih kepada menjadi pengulas MotoGP untuk stesen TV Sepanyol. Beliau juga merupakan duta kepada syarikat insuran ternama di sana.

BACA: MEMORI JENTERA MOTOGP – GP500 2 LEJANG

Kini selain menghabiskan masa bersama keluarga, Criville turut meluangkan masa beliau bersana kuda-kuda yang dipeliharanya. Selain dari motosikal, kuda merupakan minat Criville yang kedua.

Kredit RedBull.com

Google ads
Back to top button