Artikel Pilihan

EMPAT PELUMBA MOTOSIKAL DUNIA TERNAMA DARI JEPUN – BANZAI!

Jepun merupakan salah sebuah negara pengeluar motosikal paling terkenal di dunia. Mungkin sebab itu jugalah setiap tahun ada sahaja muka-muka pelumba baharu dari negara matahari terbit itu. Malah kebanyakan daripada mereka berjaya menggegar perlumbaan bertaraf dunia walaupun tidak mencapai kehebatan seperti Valentino Rossi. Ini merupakan antara 4 pelumba paling popular pernah muncul dari matahari timur.

Tetsuya Harada

Tetsuya Harada dilahirkan pada 14 Jun 1970 dan merupakan bekas pelumba GP motosikal dunia. Pencapaian terbaik Harada ialah memenangi kategori 250cc pada tahun 1993. Masa tu mereka masih menggunakan motosikal 2 lejang dan sekarang perlumbaan ini dikenali dengan nama Moto2.

Dilahirkan di Chiba, Jepun, Harada memenangi perlumbaan Junior Championship 125cc di Jepun pada tahun 1988. Beliau berada di kedudukan kedua di belakang pelumba ternama Jepun Tadayuki Okada selama 2 tahun berturutan (1990-1991) sebelum merampas kejuaraan tahun berikutnya dalam perlumbaan All-Japan 250cc.

Harada berjaya memenangi perlumbaan 250cc dalam cubaan pertama beliau tahun 250cc dengan menewaskan Loris Capirossi dari Itali. Tahun berikutnya menyaksikan beliau bergelut dengan kecederaan. 1995 menyaksikan persaingan hebat Harada dengan Max Biaggi. Harada menang sekali dan 8 kali berada di kedudukan kedua. Sengit betul kan?

Harada turut naik kelas ke kategori 500cc namun nasib tidak menyebelahi beliau dalam kelas ini. Mungkin beliau tidak bernasin baik dan menerima motor yang kurang kompetitif.

Tohru Ukawa

Dilahirkan pada 18 Mei 1973, Ukawa memulakan karier GP beliau dalam kategori 250cc tahun 1994. Beliau berjaya mendapat kedudukan kedua kategori 250cc di belakang Valentino Rossi pada tahun 1999.

Ukawa kemudian berhijrah ke kelas 500cc dengan menyertai pasukan ternama Repsol Honda dan berada di kedudukan ketiga keseluruhan di belakang rakan sepasukan Valentino Rossi tahun 2003. Beliau kemudian berkhidmat sebagai penunggang ujian dan pernah memenangi 5 perlumbaan GP sepanjang karier beliau.

Tapi ingat Ukawa juga merupakan pemenang lima kali perlumbaan tahan lasak Suzuka 8 Hours. Power mamat ni sebenarnya.

Norifumi Abe

Juga dikenali dengan nama Norrick Abe. Dilahirkan pada 7 September 1975 dan memulakan karier perlumbaan beliau seawall umur 7 tahun dalam kategori minibike dan motocross. Beliau beralih arah ke perlumbaan di litar pada usia 15 tahun dan pernah berlumba di AS. Abe merupakan naib juara kategori 250cc tahun 1992 perlumbaan National A dan tahun berikutnya beliau muncul juara 500cc di perlumbaan All Japan Road Race Championship. Beliau merupakan pelumba paling muda pernah menang kategori tersebut.

Memulakan karier GP sebagai pelumba wild card, Abe mengejutkan pesaing dan memberikan sengit dari awal sebelum terjatuh pada tiga pusingan terakhir. Abe menarik perhatian pasukan Kenny Robert Yamaha dan memberikan peluang kepada beliau menunjuk bakat berlumba. Dalam dua perlumbaan bersama pasukan tersebut, Abe berjaya mendapat tempat keenam dalam kedua-dua perlumbaan.

Aksi Abe menarik perhatian Valentino Rossi ketika itu yang baharu saja berusia 14 tahun. Rossi malah sempat menggunakan nickname “Rossifumi” pada peringkat awal tanda kagum beliau kepada bakat perlumbaan Abe. Hebat demo abe.

Abe meninggal dunia dalam satu kemalangan motosikal pada tanggal 7 Ogos 2007. Skuter Yamaha T-Max yang ditunggang beliau telah berlanggar dengan sebuah lori yang membuat pusingan U haram di daerah Kanagawa, Jepun.

Daijiro Kato

Dilahirkan di Saitama pada 4 Julai 1976, Daijiro Kato merupakan juara dunia 250cc tahun 2001 dan pemenang Suzuka 8 Hours dua kali tahun 2000 dan 2002.

Kato memulakan perlumbaan dari zaman kanak-kanak dengan menyertai perlumbaan pocketbike dan merupakan juara kebangsaan sebanyak 4 tahun.

Beliau juga menyertai perlumbaan GP dengan tiket wild card pada tahun 1996 dan berjaya menduduki podium di tangga ketiga. Tahun berikutnya sekali lagi beliau menyertai perlumbaan 250cc dengan tiket wild card dan kali ini berjaya merangkul kejuaraan.

Walaupun dengan rekod sehebat itu, Kato hanya berjaya menjadi pelumba penuh GP pada tahun 2000 dengan menyertai pasukan Honda. Beliau berjaya memenangi 4 perlumbaan musim itu dan berada di kedudukan ketiga keseluruhan. Beliau berjaya menamatkan kesemua perlumbaan pada tahun tersebut.

Menjelang 2001, Kato mendominasi terus kelas 250cc dengan rekod kemenangan 11 perlumbaan yang kekal sehingga ke hari ini. Beliau turut mencatat rekod pungutan markah terbanyak 250cc dalam satu musim dengan catatan 322 markah. Kemah boh.

Tahun berikutnya, Kato naik pangkat ke 500cc yang kemudian dikenali sebagai MotoGP. Belum pun sempat memberikan cabaran dalam kelas baru ini, Kato telah terlibat dalam kemalangan musim pertama MotoGP di litar Suzuka dan meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala, leher dan dada. Beliau merempuh dinding penghadang pada kelajuan 200 km/j.

Kotaro Minami

Yang ni tak pernah berlumba dalam mana-mana perlumbaan GP tapi inilah penunggang paling popular dari Jepun. Tak percaya sudah tapi jangan tipu diri sendiri la. Mesti korang sanggup tercongok depan TV masa kecil-kecil dulu kan?

Begitulah suratan takdir pelumba, kalau panjang umur kira nasib baik. Apa pun terima kasih atas sumbangan anda menghiburkan kami dengan aksi-aksi terbaik.  

Google ads
Back to top button