Buletin

DISKAUN RFID 20% DI JAMBATAN PULAU PINANG PERTENGAHAN JULAI

Pengguna Jambatan Pulau Pinang (kategori kereta persendirian) yang menggunakan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) sebagai kaedah pembayaran tol berpeluang menikmati diskaun sebanyak 20 peratus mulai pertengahan Julai ini.

Pengurus Perniagaan Wilayah Utara PLUS Malaysia Berhad Wan Ahmad Awang berkata diskaun tersebut diberikan kepada rakyat Pulau Pinang dan warga kerja di negeri itu.

“Walaupun diskaun ini untuk kenderaan persendirian sahaja tetapi ia merangkumi lebih 80 peratus kenderaan yang melalui Jambatan Pulau Pinang.

“Orang ramai yang tinggal atau bekerja di Pulau Pinang boleh memohon diskaun 20 peratus menerusi RFID di Jambatan Pulau Pinang bermula bulan hadapan,” katanya.

Beliau berkata butiran lanjut mengenai permohonan diskaun itu akan diumumkan PLUS dan pihak Touch ‘n Go Sdn Bhd tidak lama lagi.

Wan Ahmad berkata penggunaan RFID membolehkan pengguna menambah nilai secara dalam talian melalui e-Dompet dan kaedah itu tidak memerlukan pengguna berinteraksi dengan jurutol sekali gus mengurangkan risiko jangkitan COVID-19.

Beliau berkata pada masa ini, bayaran tol bagi pengguna RFID di Jambatan Pulau Pinang ialah RM5.74 dan selepas diskaun 20 peratus, mereka hanya perlu membayar kadar baharu iaitu RM4.59 – BERNAMA

Tags
Google ads
Back to top button