Buletin

TENGKU MUHAMMAD TAUFIK DILANTIK SEBAGAI PRESIDEN, CEO BAHARU PETRONAS

Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz dilantik sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan baharu syarikat Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) mulai 1 Julai ini.

Beliau menggantikan Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin yang dilantik sebagai pengerusi baharu syarikat Malaysia Airlines Bhd (MAB).

Tengku Muhammad Taufik merupakan Ketua Pegawai Kewangan PETRONAS yang dilantik sejak 2018.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata dalam suasana ekonomi yang mencabar sekarang, terdapat beberapa syarikat kerajaan perlu diperkukuhkan lagi untuk menghadapi norma dunia baharu.

“Kerajaan dalam hal ini meneruskan usaha mengkaji semula kepimpinan syarikat-syarikat milik kerajaan bagi memastikan penyelarasan dasar dan pencapaian objektif sosioekonomi negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Muhyiddin turut mengucapkan ribuan terima kasih atas kepimpinan dan sumbangan Wan Zulkiflee selama 37 tahun perkhidmatannya bersama PETRONAS.

“Beliau telah berjaya mengekalkan PETRONAS sebagai salah sebuah syarikat kerajaan yang mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh dan ditadbir dengan cemerlang.

“PETRONAS adalah satu-satunya syarikat kerajaan yang mempunyai penilaian kredit antarabangsa yang baik dan masih tersenarai dalam Fortune Global 500,” katanya. – Berita Harian

Tags
Google ads
Back to top button