Buletin

DODGE CHARGER R/T SIAP! MENCARI PEMILIK BAHARU, ADA YANG NAK?

American muscle, inilah gelaran untuk kereta buatan Amerika Dodge Charger R/T dan model seangkatan. Kepada yang berkenan, ini ada sebuah unit telah dibaik pulih sepenuhnya oleh Classic Investments.

Syarikat baik pulih dari United Kingdom itu menawarkan kepada sesiapa yang berminat sebuah Dodge Charger R/T tahun 1969.

Model ikonik itu bukan sahaja dibaik pulih tetapi juga dilengkapi pelbagai komponen prestasi tinggi.

Bagi memastikan hasil kerja yang cemerlang, kesemua komponen dibuka dan karat ditanggalkan sebelum dibina kembali.

Suspensi asal digantikan dengan penyerap hentak boleh laras dari Koni manakala ‘rasa’ stereng lebih jitu dengan sesendal (bush) polyurethane.

Brek dinaik taraf dengan unit Servo baharu, cakera dan rotor 11 inci pada bahagian depan dan brek gelendung (drum brake) 11 inci yang dipertingkatkan.

Enjin 440ci Magnum V8 dipasang dengan aci sesondol berprestasi, karburator Holley 770 Street Avenger series 4 barrel dan ekzos keluli tahan karat (stainless-steel).

Enjin itu telah pun siap run in dan pemilik baharu boleh terus menikmatinya selepas bertukar tangan.

Bahagian interior pula dibalut baharu sepenuhnya. Sebelum pemasangan kemasan dan karpet, bahan kedap bunyi disiapkan untuk keselesaan dan perjalanan jauh.

Mazda CX30

Kesemua komponen asal telah diperbaharui seperti radio, tolok (gauges), meter kelajuan, suis-suis dan konsol tengah.

Kerusi dibalut semula dengan kulit Itali kualiti tinggi dan stereng mempunyai corak ira kayu khas dalam warna asli Wenge (coklat gelap).

Menurut pengasas Classic Investments, Agris Alksnis masa yang diambil untuk menyiapkan kereta ini lebih daripada 3,000 jam. Hasilnya ialah sebuah kereta muscle klasik tanpa perlu risau tentang reliabiliti.

Kesemua kerja-kerja baik pulih Dodge Charger R/T dibuat secara dalaman oleh Classic Investments termasuk kerja-kerja krom dan balutan bahagian dalam untuk jaminan kesempurnaan.

Kepada yang berminat, butiran dan pertanyaan pembelian Dodge Charger R/T boleh diajukan ke laman web rasmi Classic Investments.

BACA: APA ITU SPOILER? APA ITU GT WING? AERODINAMIK KAH?AMPAIAN KAIN KAH?

BACA: GROUPE PSA DAN FCA SETUJU BERGABUNG (PEUGEOT DAN ALFA ROMEO 1 BUMBUNG)

BACA: MITSUBISHI STARION, LEGENDA ERA 80AN

Tags
Google ads
Back to top button