Buletin

PRODUKSI DODGE DURANGO HELLCAT 2021 BERTAHAN 6 BULAN SAHAJA

Dodge Durango Hellcat 2021 merupakan model paling menarik dari pengeluar Dodge dalam tempoh yang agak lama malah merupakan SUV paling berkuasa di dunia.

Bagi yang inginkan SUV super ini, mereka perlu mendapatkannya sebaik sahaja ia memasuki bilik pameran kerana Dodge Durango Hellcat terhad di pasaran.

Bukan dikeluarkan secara edisi terhad tetapi disebabkan batasan masa pengeluaran model terbaharu ini.

Menurut bos besar Dodge, Timothy Kuniskis kepada Muscle Cars & Trucks, model Durango Hellcat bukanlah edisi bersiri seperti Dodge Demon.

“Kami hanya mengeluarkannya selama enam bulan berikutan terdapat perubahan di kilang (bahagian produksi) dalam pasca COVID-19 ini. Ia mengubah jumlah pengeluaran.

“Saya tidak dapat mengatakan jumlah sebenar pengeluaran tetapi kurang daripada 2,000 unit. Ia bergantung kepada permintaan pelanggan dan berapa banyak unit yang dapat dikeluarkan dalam tempoh enam bulan,” katanya.

Secara dasarnya, pandemik COVID-19 yang menular di seluruh dunia mengakibatkan industri automotif terjejas termasuk Dodge.

Dalam tempoh enam bulan yang tidak menentu, anda boleh jangka permintaan Durango Hellcat akan melambung tinggi. Begitupun, diharap hanya permintaan yang tinggi bukan harga jentera ini.

Kuniskis menambah ketika beralih model tahun 2022 pula, terdapat syarat pelepasan penyejatan baharu. Enjin Durango Hellcat tidak memenuhi kriteria tersebut. –  motor1

Tags
Google ads
Back to top button