Buletin

COVID-19: MALAYSIA AIRLINES BERDEPAN RISIKO BANKRAP!

Malaysia Airlines Bhd memberitahu sekatan penerbangan dan pemintaan yang kian merudum di seluruh dunia akibat penularan pandemik COVID-19 membuatkan syarikat penerbangan negara itu berdepan risiko bankrap.

Memetik laporan The Edge, Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Malaysia Aviation Group (MAG), Boo Hui Yee menyatakan nasib 13,000 kakitangan MAS tidak jauh berbeza dengan kebanyakan syarikat penerbangan yang lain.

“Situasi yang semakin buruk sepanjang hujung minggu lalu memaksa kerajaan di seluruh dunia mengenakan sekatan lebih ketat. Sekali gus memberi cabaran lebih besar ke atas operasi kami.  

“Permintaan terus menjunam dan pelanggan berpusu-pusu menghubungi pusat panggilan serta akaun media sosial untuk membatalkan penerbangan. Ini meletakkan kami berada dalam situasi kritikal.

“Kebanyakan syarikat penerbangan kini berisiko bankrap dan Malaysia Airlines tidak terkecuali,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAS, Kapten Izham baru-baru ini mengumumkan pemotongan gaji sebanyak 10 peratus ke atas pegawai pengurusan kanan. Ia merupakan sebahagian daripada langkah mengurangkan kos operasi dan menangani permintaan yang lemah.

Boo juga mengakui Malaysia Airlines kini sedang menimbangkan beberapa keputusan sukar demi memastikan kelangsungan perniagaan dalam tempoh sukar ini, dalam usaha mengurangkan kerugian dan menyimpan tunai.

“Di peringkat tempatan, kita berdepan dengan ketidaktentuan politik yang memberi kesan ke atas tukaran wang asing. Ditambah pula dengan kejatuhan harga minyak, nilai Ringgit semakin lemah berbanding dolar AS.

“Semua ini menyebabkan kos kami semakin tinggi. Seterusnya memburukkan lagi keadaan kewangan kami yang sudah sedia tenat akibat kejatuhan permintaan dan jualan,” kata Boo lagi.

Keutamaan sekarang Malaysia Airlines kini adalah untuk mengurangkan kerugian, menyimpan tunai dan mengekalkan perniagaan dalam berdepan pandemik COVID-19 yang memang tidak diketahui bagaimanakah akhirnya.

Jadi, langkah-langkah drastik telah diambil untuk memastikan kemapanan aliran tunai perniagaan. Ini termasuklah pengurusan kapasiti, mendapatkan konsesi daripada vendor, membekukan perbelanjaan tidak perlu dan pemotongan kos. – MalayMail

Google ads
Back to top button