Motosikal

DUCATI XDIAVEL MAHAL SANGAT? BELI BENELLI 402S – REKAAN PUN DAH SAMA

Persamaan reka bentuk dalam industri pembuatan kereta atau motosikal bukanlah perkara baru.

Kita kerap melihat model-model jenama popular ditiru oleh pengeluar yang lebih kecil. Antara yang terkenal buat kerja begitu ialah syarikat dari China.

Contoh terbaru ialah model cruiser daripada Benelli yang diberi nama 402S ini. Sekali pandang, kita sudah boleh agak dari mana yang mendapat ‘inspirasi’. Apa lagi kalau bukan daripada model Ducati XDiavel.

Tanpa segan silu, ia mempunyai hampir kesemua ciri rekaan  XDiavel jika dilihat dari arah sisi, hadapan dan belakang. Lampu utama, tempat duduk dan kerangka trellis yang terdedah itu memang sama.

Nampaknya, 402S sedikit mencalar kreadibiliti Benelli yang sebelum ini dipuji kerana mampu menghasilkan jentera bersesaran kecil tetapi mempunyai rekaan mantap seperti Leoncino.

Berbeza dengan XDiavel yang jauh lebih berkuasa, 402S hanya dikuasakan oleh enjin parallel-twin bersesaran 399cc. Enjin dengan sistem penyejukan cecair itu mampu menghasilkan kuasa sekitar 4-bhp dan tork 35Nm.

Pada roda hadapan, jentera itu menggunakan khidmat fork USD dan monoshcok boleh laras di belakang. Brek ABS pula menjadi satu ciri standard.

402S dijangka diperkenalkan di pasaran Eropah pada pertengahan tahun ini. Kalau ia dilancarkan di Malaysia, ramai yang nak beli?

Google ads
Back to top button