
DULU TIRU, SEKARANG UNGGUL – INILAH CARA CHINA MENGHANCURKAN DOMINASI BARAT
Pada Oktober 2023, syarikat automotif China, Chery, bertindak segera menghantar jurutera dan pembekalnya ke litar ujian di Zhaoyuan, Wilayah Shandong.
Tujuannya adalah melaksanakan rombakan besar terhadap sistem suspensi dan stereng untuk model SUV Chery Omoda 5 versi Eropah, pasaran penting bagi perluasan globalnya.
Masalahnya mudah, kereta itu direka untuk jalan China yang rata dan kelajuan sederhana, sedangkan Eropah menuntut lebih ketahanan di jalan berliku dan berbonggol. Hanya enam minggu kemudian, Chery berjaya menghantar Omoda 5 versi Eropah kepada pengedar lengkap dengan stereng baharu, kawalan cengkaman, brek, peredam getaran dan tayar yang dipertingkatkan.
Menurut pakar dinamik kenderaan kanan Chery, Riccardo Tonelli, perkara sedemikian sukar dicapai dalam syarikat automotif Eropah yang terlalu birokratik.

Beliau yang pernah berkhidmat dengan pembuat kereta Itali dan pengeluar tayar Korea, menyifatkan kecekapan Chery sebagai contoh ketangkasan luar biasa yang kini menggegarkan pemain global.
Kebangkitan jenama auto China seperti Chery dan BYD berpunca daripada kemampuan unik iaitu mempercepat pembangunan kenderaan baharu kepada hanya 18 bulan, lebih separuh daripada tempoh biasa pemain Barat.
Di pasaran domestik, usia purata model elektrik atau hibrid plug-in berjenama China hanya 1.6 tahun, berbanding 5.4 tahun bagi jenama asing, menurut firma AlixPartners.
Keupayaan inilah yang menggugat pengeluar kenderaan legasi seperti General Motors, Toyota, dan Volkswagen. Mereka bukan sekadar kehilangan pasaran di China, pasaran kenderaan terbesar dunia, malah kini diasak oleh ekspansi global gergasi baharu dari timur.
Chery kini menjadi pengeksport terbesar kenderaan China, manakala BYD pula disebut-sebut sebagai ancaman jangka panjang terbesar kepada Tesla.
STRUKTUR MENDORONG KELAJUAN
BYD mempunyai hampir 900,000 pekerja, hampir menyamai gabungan tenaga kerja Toyota dan Volkswagen dan banyak bergantung kepada kemudahan sendiri, dari pengeluaran komponen hinggalah logistik dalaman. Malah pekerjanya lazim bekerja enam hari seminggu, 12 jam sehari.
Pegawai kejuruteraan Chery, Peter Matkin menyatakan, “Pembuat kereta global tiada idea apa yang sedang mereka hadapi.”
Kedua-dua Chery dan BYD mencatat peningkatan jualan sekitar 40 peratus secara global pada 2024. Dalam tempoh sama, Tesla mencatat penurunan jualan tahunan pertamanya, banyak berpunca daripada barisan produk yang semakin tua.
Tambahan pula, tindakan politik Ketua Pegawai Eksekutifnya, Elon Musk, dilihat menjejaskan imej syarikat.
KEMEROSOTAN PENGELUAR ASING DI CHINA
Antara tahun 2020 hingga 2024, jualan tahunan lima pengeluar asing terbesar di China – VW, Toyota, Honda, GM dan Nissan – merosot daripada 9.4 juta kepada 6.4 juta unit.
Dalam tempoh sama, lima pembuat kereta China teratas menggandakan jualan mereka daripada 4.6 juta kepada 9.5 juta unit.
Kini, beberapa pembuat asing mula bekerjasama dengan syarikat China seperti Volkswagen dengan XPeng untuk belajar bagaimana mereka beroperasi begitu pantas dan murah.

MENGUBAH CARA BERFIKIR
Menurut profesor dari Universiti Tongji Shanghai, Allen Han, industri automotif China mula menolak proses kualiti Barat yang dianggap “terlalu berlebihan”. Sebaliknya, mereka mengambil pendekatan ‘fail-fast’, menggunakan simulasi dan kecerdasan buatan sebagai pengganti ujian fizikal dunia nyata.
Daripada membangunkan banyak prototaip dan ujian beribu kilometer, mereka lebih cenderung melancarkan model awal dan menaik taraf mengikut maklum balas pengguna.
Realitinya, daripada 169 pengeluar kereta di China, 93 daripadanya memiliki pegangan pasaran kurang daripada 0.1 peratus. Saingan sengit juga mendorong mereka menurunkan harga secara agresif, termasuk menjual kereta ‘zero mileage’ sebagai kereta terpakai.
SERANGAN GLOBAL, STRATEGI BERBEZA
Bagi menampung kerugian, pembuat kereta China kini agresif menembusi pasaran luar. Di luar negara, kenderaan mereka dijual pada harga hampir sama dengan jenama global dan kira-kira dua kali ganda daripada harga jualan di pasaran domestik.
BYD, sebagai contoh, menjual lebih 3.7 juta kereta pada 2024, berbanding hanya sekitar 400,000 unit pada 2020.
Dalam satu tempoh kempen pengambilan antara Ogos hingga Oktober 2024, BYD menambah 200,000 pekerja, melebihi jumlah pekerja General Motors keseluruhan.
Kini, BYD mempunyai modal pasaran sekitar USD141 bilion (RM664 bilion), hampir tiga kali ganda nilai Volkswagen tetapi masih di belakang Tesla yang hampir mencecah nilai USD1 trilion (RM4.7 trilion).
Namun dari segi bilangan model dan kadar pelancaran produk, Tesla jauh ketinggalan. Sejak melancarkan Model Y pada 2020, Tesla hanya mempunyai lima model, manakala BYD telah melancarkan lebih 40 model baharu dan mengemaskini lebih 139 model.

PEMBANGUNAN ‘ULTRA-PANTAS’
Zeekr, jenama premium di bawah Geely, menggunakan teknik pembangunan berterusan merentas zon masa, di mana jurutera di Shanghai dan Hangzhou menyambung kerja pasukan dari Gothenburg, Sweden untuk memaksimumkan 20 jam kerja setiap hari.
Mereka juga menggunakan simulasi canggih yang mampu menguji komponen seperti isyarat belok dalam masa 30 minit, dan sistem penting seperti brek hanya mengambil masa beberapa hari.
Bandingkan dengan Volkswagen, di mana hanya perubahan grafik pada sistem navigasi memerlukan ujian sejauh 75,000 kilometer kerana melibatkan tiga pasaran berbeza. Menurut bekas jurutera VW yang kini bersama Zeekr, Christian Hering, “Itulah sebab pembuat kereta tradisional tak mampu bergerak sepantas ini.”
KESELAMATAN TIDAK DIKOMPROMI
Walaupun mengurangkan langkah ujian, kenderaan dari China sering memperoleh penarafan lima bintang daripada Euro NCAP.
Matthew Avery, pengarah pembangunan strategik NCAP berkata, “Kualiti kereta China sekarang lebih baik daripada yang lain.”

CHERY: JENAMA PELBAGAI STRATEGI
Chery menjual 1.14 juta kenderaan di lebih 100 negara pada 2024, hampir separuh daripada jumlah keseluruhan syarikat. Syarikat ini turut menghasilkan pelbagai jenis kenderaan, termasuk enjin pembakaran dalaman, EV dan hibrid.
Barisan Omoda membuktikan pendekatan pragmatik ini. Di Eropah, Chery melancarkan model Omoda 5 petrol, versi elektrik, dan akan menyusul dengan Omoda 7 serta Omoda 9 versi plug-in hybrid menjelang akhir tahun ini.
Chery juga merancang membuka kilang di Sepanyol bersama pengeluar tempatan Ebro, dan menjangka dua lagi kilang diperlukan di Eropah bagi memenuhi permintaan.
Kunci kekuatan Chery ialah fleksibiliti. Menurut Matkin, jika sesebuah model seperti Jaecoo 7 tidak diterima, ia boleh diganti sepenuhnya dalam tempoh kurang dua tahun. “Jika semua orang benci reka bentuk sekarang, Chery akan ubah. Dan ia akan tiba semula, berwajah baharu, dalam masa tidak sampai dua tahun,” ujarnya.
Kesimpulannya, kekuatan sebenar pembuat kenderaan China bukan sekadar harga rendah, tetapi kecekapan luar biasa dalam reka bentuk, pembuatan dan kelulusan model baharu.
Dengan strategi berasaskan kelajuan, skalabiliti, dan keberanian untuk mengambil risiko, gergasi baharu ini sedang mengubah landskap industri automotif global dengan pantas, dan dunia Barat mungkin belum benar-benar bersedia.









