
EKONOMI INDIA MAKIN PERLAHAN, PENGELUAR KERETA JEPUN PENING KEPALA
Ketika perang dagangan di antara Amerika Syarikat dan China, ketidaktentuan pasaran automotif global serta kenaikan kos untuk menghasilkan kenderaan lebih bersih, pengeluar kenderaan Jepun kini berdepan satu lagi masalah yang memeningkan kepala mereka.
Pertumbuhan ekonomi yang semakin perlahan di India nampaknya mula memberi kesan besar kepada Suzuki Motor Corp.
Sedia maklum bahawa jenama Suzuki cukup kukuh di pasaran automotif keempat terbesardi dunia itu menerusi anak syarikatnya, Maruti Suzuki India Ltd.

Keuntungan kasar kumpulan Suzuki dalam tempoh enam bulan sehingga September dilapor menurun sebanyak 41.8 peratus berbanding tahun sebelumnya kepada ¥79.30 bilion(RM3.04 bilion). Jualannya di India jatuh 26.5 peratus kepada 675,000 unit.
“Sukar untuk kata keadaan akan kembali pulih seperti biasa pada masa depan,” akui Presiden Suzuki, Toshihiro Suzuki baru-baru ini.
Menurut Persatuan Pengeluar Kenderaan India, jualan kereta di India jatuh 11 bulan berturut-turut sebelum naik sedikit kepada 285,027 unit sepanjang Oktober.
Honda Motor Co. juga terjejas apabila jualan kereta dan motosikalnya terus merudum berikutan masalah mendapatkan pembiayaan kredit dan banjir.
“Pasaran kereta da motosikal di India perlahan kerana pengguna mahu berjimat dan masa depan ekonomi negara ini yang tidak jelas,” kata Naib Presiden Eksekutif Honda, Seiji Kuraishi.
Penganalisis kanan dari SMBC Nikko Securities Inc., Toshihide Kinoshita menyatakan masalah kereta memberi impak ketara kepada sistem pinjaman kereta di India. Sedangkan 40 peratus pembeli bergantung kepada pinjaman.
Keadaan itu diburukkan lagi dengan pengukuhan nilai yen berbanding matawang lain.