Buletin

EKZOS BISING, REMAJA KENA BEDAL

Sekumpulan lelaki belasah seorang remaja berikutan bunyi ekzos motosikal bising di kawasan Menara Maju Klang pada Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, kejadian kira-kira jam 7.30 petang itu berlaku semasa remaja berusia 16 tahun yang menunggang motosikal jenis Modenas Kriss ditahan oleh seorang lelaki di lokasi terbabit.

“Mangsa ditampar dan dipukul malah rakan lelaki terbabit turut datang dan memukul remaja berkenaan menggunakan kayu serta topi keledar.

“Ayah mangsa turut dipukul kumpulan terbabit selepas mangsa menghubunginya meminta bantuan.” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau menambah, kejadian itu menyebabkan remaja terbabit cedera di bahagian badan dan kepala manakala ayahnya luka di tangan.

Katanya, sepasukan polis diketuai Ketua Polis Balai Klang, Inspektor Ahmad Afiq Rusli menahan enam lelaki berusia 17 hingga 45 tahun yang terlibat dalam kes terbabit kira-kira jam 11 malam di sekitar Klang.

“Soal siasat mendapati punca kejadian disebabkan remaja terbabit membunyikan ekzos motosikal dengan kuat,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan. – Sinar Harian

Google ads
Back to top button