Buletin

ELANTRA 2020 TIBA DI MALAYSIA. REKAAN PARAMETRIC DYNAMIC, ENJIN SMARTSTREAM 1.6L, HYUNDAI SMARTSENSE

Hyundai memperkenalkan Elantra generasi ketujuh ke pasaran dunia pada Mac lalu. Namun, pihak Hyundai Sime-Darby tidak menunggu lama untuk membawa sedan itu ke Malaysia.

Semalam, saya berpeluang melihat secara dekat sedan yang menggunakan kod nama CN7 itu.

Apa yang boleh dikatakan, jentera tersebut tampil dengan peningkatan kualiti, ciri dan reka bentuk yang sangat ketara berbanding generasi sebelumnya.

Rekaan Parametric Dynamic

Singapura menerima model itu terlebih dahulu. Ia menggunakan bahasa rekaan dikenali sebagai Parametric Dynamic yang mempunyai banyak efek bentuk tiga segi yang tajam.

Elemen itu boleh dilihat dengan jelas pada bahagian hadapan, sisi dan belakang. Gayaan hadapan Elantra diserlakan dengan gril bersama rekaan permata parametrik berwarna kelabu.

Ia kemudian diapit oleh sepasang lampu LED nipis yang disepadukan bersama lampu nyalaan siang (DRL) LED. Lampu isyarat membelok disembunyikan pada sisi gril.

Bahagian bawah pula terdapat corong aliran udara berbentuk tiga segi yang membuatkan penampilan sedan itu semakin garang.

Melihat dari arah sisi, Elantra hadir dengan rekaan sebuah fastback. Cermin belakang direka landai bersama kemasan berwarna hitam. Ia bagi menampakkan cermin itu secara ilusinya lebih panjang.

Rekaan dramatik parametrik diteruskan pada bahagian pintu hadapan. Elantra kemudian dipasang dengan rim aloi dua tona bersaiz dua inci untuk menyempurnakan lagi rekaan sisinya.

Secara peribadinya, saya sukakan rekaan bahagian belakang Elantra. Ia kelihatan begitu sporty dengan lampu kombinasi berbentuk tiga segi dan jalur lampu LED yang melintang pada bahagian bawah logo Hyundai.  

Menjengah ke bahagian kabin, reka bentuk dan susun aturnya cukup kemas dan moden. Pelanggan boleh memilih sama ada mahu tona hitam atau kelabu/beige yang cantik.

Pemandu dihidangkan dengan paparan kluster meter TFT LCD berwarna penuh bersaiz 10.25 inci. Bahagian tengah papan pemuka pula dihuni oleh paparan skrin sentuh bersaiz lapan inci dengan ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto.

Konsol tengah menyediakan ruang meletak minuman yang boleh diubah suai tahap kedalamannya.

Susun atur ruang itu semakin kemas dengan penggunaan brek parkir elektronik dan butang Auto Hold. Tidak ketinggalan, pad pengecasan tanpa wayar untuk anda gunakan.

Aspek keselesaan ditingkatkan dengan sistem pendingin hawa dua zon. Lebih menarik lagi, suhu boleh diselarikan dengan ciri pemanas/penyejukan pada tempat duduk dan stereng.

Ruang tempat duduk belakangnya juga 58mm lebih luas berbanding model terdahulu.

Dari segi kemudahan, Elantra dilengkapi ciri Smart Trunk yang boleh dibuka dengan hanya perlu berdiri berhampiran but belakang. Selain ciri pemanas pada cermin sisi.

Elantra menawarkan ruang but seluas 474 liter. Tidak didatangkan bersama tayar simpanan, sebaliknya ia digantikan dengan kit membaiki tayar.  

Enjin Smartstream G1.6

Sedan tersebut menggunakan khidmat enjin aspirasi biasa Smartstream G1.6 yang mampu menjana kuasa 123PS pada 6,300rpm dan tork 154Nm pada 4,500rpm. Enjin itu kemudian dipadankan dengan kotak gear Smartstream IVT lapan kelajuan.

Pemandu ditawarkan dengan empat mode pemanduan iaitu Normal, Smart, Eco dan Sport. Selain grafik meter yang berubah, karekter enjin akan bertukar setiap kali mode pemanduan itu dipilih.  

Bagi memberikan kualiti pemanduan yang mantap, Elantra dibina di atas K-Platform generasi ketiga yang lebih tegar. Ciri keselamatan standard yang ada padanya ialah brek ABS, BA, EBD, Traction Control System (TCS), ESC, Vehicle Stability Management (VSM) dan enam beg udara.

Hyundai Smartsense

Tidak cukup? Hyundai turut memasang sistem keselamatan Hyundai Smartsense pada Elantra.

Rangkaian sistem keselamatan aktif itu terdiri daripada pelbagai ciri seperti Lane Keeping Assist (LKA), Lane Following Assist (LFA), Smart Cruise Control (SCC) dengan Stop/Go dan Forward Collision-Avoidance Assist (FCA) yang mampu mengesan kenderaan, pejalan kaki serta penunggang motosikal.

Ciri keselamatan diteruskan dengan Forward Collision-Avoidance Assist Junction (FCA-JT), Blind Spot Collision-Avoidance Assist (BCA), Driver Attention Warning (DAW), Leading Vehicle Departure Alert (LVDA), Safe Exit Warning (SEW), Rear Cross Traffic Collision-Avoidance Assist (RCCA) dan Rear Occupant Alert (ROA).

Sudah boleh ditempah sekarang, Elantra hadir dalam empat pilihan warna menarik iaitu putih, perak,kelabu, biru.

GALERI

Google ads
Back to top button