Buletin

HYUNDAI KONA RASMI MASUK MALAYSIA. REKAAN STYLO, 3 VARIAN. HARGA BERMULA RM 115,888

Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) memperkenalkan SUV kompak terbaharu Hyundai ke pasaran Malaysia.

SUV kompak terbaharu ini didatangkan dengan tiga varian untuk pilihan pengguna iaitu Kona 2.0, Kona 2.0 Active dan Kona 1.6 Turbo.

Jentera terbaharu ini dijual pada harga bermula RM115,888 sehingga RM143,888.

Kona hadir dengan lima warna pilihan iaitu putih (Chalk White), biru (Ceramic Blue dan Blue Lagoon), merah (Pulse Red) dan hitam (Phantom Black).

SUV segmen B pertama HSDM direka dengan dimensi 4,165 mm pada jarak antara roda sepanjang 2,600 mm.

Dengan rekaan moden dan stylo, Kona sudah pasti menepati cita rasa pengguna terutama mereka yang menjalani gaya hidup aktif.

Dari segi luaran, Kona hadir dengan gril Cascading lebih besar dan rekaan lampu utama hadapan berkembar menyerlahkan sisi garang serta sporty jentera terbaharu ini.

Ia turut dilengkapi lampu kabus belakang dan nyalaan siang LED yang moden.

Model lebih up sikit, Kona 2.0 Active dan Kona 1.6 Turbo hadir dengan sistem pencahayaan lampu LED Bi Function Projection Beam.

Kona 1.6 Turbo turut didatangkan rak bumbung serta warna badan dua tona.

Rekaan dalaman menampilkan tempat duduk hadapan dengan larasan manual dan pendingin hawa kawalan manual bagi model Standard.

Dua lagi varian lebih tinggi, mendapat tempat duduk pemandu dengan larasan kuasa lapan hala dan fungsi sokongan belakang.

Antara ciri-ciri menarik lain yang terdapat pada semua varian SUV terbaharu ini termasuk kemasukan tanpa kunci dengan butang penghidup enjin dan kluster informasi digital.

Selain itu, Kona turut mendapat sistem audio digabungkan skrin sentuh LCD berwarna tujuh inci enam pembesar suara, auxiliary audio input, USB, Bluetooth, ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto.

Di bahagian tengah konsol model paling mahal, dilengkapi ciri pengecas tanpa wayar bagi telefon pintar sekali gus memudahkan pengguna.

Para pemandu boleh memilih tiga mod pemanduan iaitu Comfort, Eco dan Sport dalam mengendalikan SUV ini.

Model 2.0 liter mendapat khidmat enjin Nu Atkinson yang mampu menjana kuasa 149 hp dan tork 180 Nm. Ia dipadankan bersama kotak gear transmisi automatik enam kelajuan.

Bagi model 1.6 liter, ia didatangkan enjin Gamma T-GDI turbo petrol yang menghambur kuasa 177 hp dan tork 265 Nm dengan transmisi dwi-klac tujuh kelajuan.

Sistem suspensi merupakan MacPherson Strut di bahagian hadapan manakala belakang menerima Coupled Torsion Beam Axle.

Sisi sporty jentera ini terus diperlihatkan dengan model Standard dipadankan dengan roda aloi 17 inci yang dibaluti tayar profil 215/55 R17.

Bagi varian Active dan High pula, ia didatangkan roda aloi 18 inci dengan tayar 235/35 R18.

Dari segi aspek keselamatan, semua varian menerima enam beg udara, ABS dengan EBD, Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Pengurusan Sistem Kenderaan (VSM), Sistem Kawalan Cengkaman (TCS), cagak ISOFIX, Bantuan Mendaki Bukit, Kawalan Menurun Bukit dan Sistem Bantuan Parkir belakang.

Hyundai Smart Sense turut menjadi ciri tambahan varian 1.6 Turbo yang merangkumi Bantuan Kekal Lorong, Kawalan Kelajuan Pintar, Amaran Pelanggaran Hadapan, Bantuan Mengelak Pelanggaran Hadapan dan Amaran Kepekaan Pemandu.

Mereka yang berminat boleh mendapat jentera terbaharu ini malah kesemua varian ini diberikan jaminan lima tahun atau had perbatuan 300,000 km.

Google ads
"
"
Back to top button