
PROTON TINGKATKAN PEGANGAN PASARAN WALAUPUN TIV MENURUN SEBANYAK 21% PADA BULAN JUN
Walaupun jumlah keseluruhan industri automotif (TIV) Malaysia mencatatkan penurunan mendadak sebanyak 21 peratus pada bulan Jun berbanding Mei, PROTON berjaya mengekalkan momentumnya dan terus memperkukuh kedudukannya dalam pasaran.
Syarikat automotif nasional itu merekodkan jualan bulanan sebanyak 11,069 unit, sedikit meningkat berbanding Jun 2024, sekaligus membantu meningkatkan pegangan pasarannya.
Untuk separuh pertama 2025, PROTON telah menjual 72,156 unit kenderaan, menjadikannya pemain kedua terbesar dalam industri automotif tempatan.
Pegangan pasarannya bagi bulan Jun dianggarkan sekitar 20.7 peratus, naik 1.1 peratus berbanding bulan sebelumnya, dan 1.2 peratus lebih tinggi daripada purata tahunan setakat ini.

Sebaliknya, jumlah TIV pada bulan Jun dianggarkan hanya 53,500 unit, jatuh ketara berbanding 68,007 unit pada bulan Mei, memberi isyarat bahawa PROTON berjaya meraih bahagian pasaran lebih besar ketika pasaran secara keseluruhan menyusut.
Model SUV segmen-B, Proton X50, terus menjadi nadi kepada kejayaan syarikat. Dengan lebih 140,000 unit terjual sejak pelancaran pada tahun 2020, model ini terus mendominasi dalam kategorinya selama lima tahun berturut-turut.
Pada Jun 2025 sahaja, sebanyak 1,657 unit X50 dijual, termasuk 353 unit untuk pasaran eksport, yang menyumbang hampir separuh daripada jualan keseluruhan eksport PROTON bulan itu.
Dari Januari hingga Jun, model ini merekodkan 11,361 unit terjual, meningkat 11.3 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

PROTON kini bersedia memperkenalkan X50 serba baharu dalam bulan Julai ini, dengan pembaharuan rekaan, kabin lebih moden, enjin 1.5L i-GT, serta kelengkapan keselamatan ADAS 2.0.
Tempahan telah dibuka sejak 5 Julai, dan beberapa aktiviti promosi akan dijalankan sebelum pelancaran rasmi.
X90 DAN S70 TERUS TERAJUI SEGMENT MASING-MASING
Walaupun jualan keseluruhan sedikit menurun akibat sentimen pasaran, tiga model PROTON kekal sebagai pendahulu dalam segmen masing-masing – X50, X90, dan S70.
- X90 (SUV Segmen-D): 174 unit terjual
- S70 (sedan Segmen-C): 1,402 unit
- Saga terus mencatat angka stabil dengan 5,206 unit
- Persona dan Iriz masing-masing menjual 1,171 dan 288 unit
Sementara itu, Proton X70 menunjukkan prestasi luar biasa, di mana jualan enam bulan pertamanya meningkat sebanyak 46.3 peratus berbanding 2024, dengan 4,354 unit direkodkan setakat Jun.

PASARAN EKSPORT DAN MODEL EV JADI TUMPUAN BARU
Ketika pasaran domestik mengalami tekanan, pasaran eksport muncul sebagai titik terang. PROTON mengeksport 414 unit pada Jun, meningkat 56.8 peratus berbanding bulan sama tahun lalu. Jumlah eksport bagi enam bulan pertama mencecah 2,250 unit, peningkatan hampir 40 peratus.
Model elektrik pertama PROTON, Proton e.MAS 7, pula menunjukkan prestasi memberangsangkan dengan 4,253 unit terjual secara gabungan di pasaran tempatan dan eksport bagi separuh pertama tahun ini.
Dengan 24 peratus pegangan pasaran EV domestik, e.MAS 7 mengukuhkan kedudukan sebagai antara EV paling laris di Malaysia.
PROTON menyasarkan pertumbuhan berterusan dalam segmen EV dengan pelancaran lebih banyak model elektrik menjelang hujung tahun ini, termasuk kehadiran e.MAS 7 di lebih banyak pasaran eksport.







