Buletin

DRB-HICOM MELABUR DALAM GENIE MALAYSIA, BUKA PELUANG BAHARU

Edaran Otomobil Nasional Bhd (EON), DRB-Hicom Bhd, baru-baru ini membuat pelaburan strategik dalam Genie Malaysia, anak syarikat Carro, platform kereta terpakai dalam talian terbesar dan paling menguntungkan di Asia Tenggara.

Genie Malaysia adalah sebahagian daripada Genie Financial Services, penyedia pembiayaan automotif fintech generasi akan datang di Singapura, Malaysia dan Thailand.

“Berikutan pelaburan kami dalam Carro, syarikat induk platform kereta terpakai myTukar pada 2021, kami teruja untuk memperdalam perkongsian strategik ini, dan yakin sinergi antara kedua-dua pihak akan membuka peluang yang belum pernah berlaku sebelum ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif EON dan Ketua Pengedaran Automotif DRB-Hicom, Akkbar Danial.

Jumlah pelaburan yang dibuat dalam Genie Malaysia bagaimanapun, tidak didedahkan.

Beliau menambah bahawa pengalaman kedua-dua syarikat itu membawa pandangan serta kepakaran berharga dalam mengemudi dan berinovasi dalam landskap teknologi baharu.

Pelaburan itu sejajar dengan langkah DRB-Hicom untuk meningkatkan ekosistem pengedaran automotifnya.

Selain itu, kerjasama itu dijangka membuka peluang jualan silang berharga untuk DRB-Hicom dalam rangkaian pengedar myTukar, yang terdiri daripada lebih 2,600 pengedar di seluruh negara.

Memulakan operasi hanya pada 2021, Genie Malaysia berjaya membina buku pinjaman hampir RM600 juta, di mana ia terdiri daripada portfolio pinjaman yang sangat pelbagai.

“Genie Malaysia bermula kerana terdapat pasaran ‘lautan biru’ pembeli kereta yang kurang mendapat perkhidmatan dan tidak mempunyai bank untuk memperoleh pembiayaan bank.

“Kami telah dapat menggabungkan data serta kekuatan unik Carro dan myTukar untuk memudahkan pembiayaan kereta terpakai. ,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Genie Malaysia, Simon Chan.

Google ads
Back to top button