
EURO NCAP KECEWA, SUV TERNAMA DAPAT MARKAH CUKUP MAKAN
Hyundai Kona generasi kedua iaitu crossover kompak dikritik oleh NCAP selepas meraih markah yang cukup makan untuk mendapat skor 4 bintang dalam ujian yang dijalankan oleh Euro NCAP. Turut menerima nasib yang sama ialah Honda ZR-V dan Vinfast VF8 yang terlepas beberapa poin untuk meraih skor 5 bintang
Bagi kes Hyundai Kona, markah yang diterima oleh crossover ini meletakkannya di kedudukan terakhir daripada 11 kenderaan yang diuji. Malah Euro NCAP menyatakan Hyundai Kona hanya bernasib baik kerana hanya melepasi beberapa poin sahaja untuk mengelakkan mendapat skor 3 bintang Euro NCAP.
Antara aspek yang gagal dipenuhi oleh Hyundai Kona ialah Bantuan Mengelakkan Kemalangan (Crash Avoidance) dan juga Bantuan Pemandu (Driver Assistance). Euro NCAP mendapati biarpun saiz Hyundai Kona telah bertambah, namun aspek keselamatan tertinggal di belakang pesaingnya yang lain.
Euro NCAP memberi definasi Skor 4 Bintang sebagai “prestasi yang bagus secara keseluruhan dalam perlindungan kemalangan dan tambahan teknologi bantuan (Safety Assist) mengelakkan kemalangan mungkin beroperasi dengan baik”.
Dalam ujian AEB, sistem pengesanan Hyundai Kona gagal mengesan penunggang basikal yang muncul secara tiba-tiba dan mendapat markah cukup makan untuk ujian AEB dari arah depan. Secara keseluruhan Hyundai Kona mendapat skor 80% untuk perlindungan dewasa, 83% perlindungan kanak-kanak, 63% untuk pengguna jalan raya lain dan 60% untuk Safety Assist
Bagi model lain seperti BMW 5 Series, BYD Seal, BYD Tang, Kia EV9, Mercedes Benz EQE SUV, Volkswagen ID.7 dan Smart 3 berjaya meraih skor 5 bintang