" "
Buletin

EXLANTIX ET KINI DIBUKA UNTUK PRA-JUALAN DI CHINA – BATERI LFP 2.0 SHENXING BAHARU, TAWAR JARAK GERAK 700KM

Exlantix ET, model baharu Chery Exeed bakal memulakan pra-jualan pada 15 April di China setelah secara rasmi memperkenalkan model tersebut Januari lalu.

Dikenali sebagai Sterra ET di pasaran China, kenderaan ini merupakan pencetus baharu dalam era mobiliti lestari yang semakin berkembang.

Dengan versi EREV (extended-range electric vehicle) juga dalam rancangan, Exlantix ET menjanjikan pelbagai kelebihan dan ciri-ciri pilihan menarik dalam pasaran kenderaan elektrik.

Berukuran 4955/1975/1698mm dan jarak roda sepanjang 3,000mm, Exlantix ET diposisikan sebagai SUV sederhana hingga besar, sangat sesuai dengan keperluan harian pengguna serta pengembaraan jauh.

Exlantix ET dibina berdasarkan platform elektrik mewah E0X Chery dan didatangkan dengan keupayaan pemanduan terkini melalui 30 penderia dan dua cip Orin-X.

Menjengah ke dalam kabin, Exlantix ET menawarkan skrin infotainmen berukuran 15.6-inci yang menyediakan pelbagai mod.

Perincian lain termasuklah tempat duduk graviti sifar, pengudaraan, pemanasan, urutan tempat duduk, sistem audio Lion Melody Max 23-pembesar suara, sunroof seluas 2.38㎡ dan sistem pemantauan kesihatan, di mana ia boleh memantau kadar denyutan jantung penumpang, tekanan darah, serta data kesihatan lain dalam masa nyata.

Dari segi kuasa, ia dipacu oleh motor elektrik hadapan dan belakang, dengan kuasa maksimum masing-masing sebanyak 245hp dan 308hp.

Masa pecutan 0 – 100 km/j dicapai dalam 5.46 saat sahaja, menawarkan prestasi pemanduan yang dinamik.

Pek bateri Exlantix ET dilengkapi dengan bateri LFP 2.0 Shenxing baharu dari CATL, menjadikannya kereta pertama yang dikeluarkan secara besar-besaran dengan keupayaan tersebut dan menawarkan jarak gerak sehingga 700km.

Selain itu, ujian cuaca sejuk pada -20 °C (-4°F) di Inner Mongolia menunjukkan bahawa ia mampu mengecas dari 20 peratus hingga 80 peratus dalam masa 24 minit.

Dalam keadaan biasa pada 25°C (77°F), jarak perjalanan sejauh 400km boleh ditambah dalam masa 10 minit sahaja.

Exlantix ET bukan sahaja menawarkan prestasi yang cemerlang tetapi juga membuktikan komitmen Chery Exeed dalam membangunkan teknologi EV lebih baik untuk masa depan mobiliti lestari.

GALERI:

Google ads
Back to top button