Buletin

FERRARI LAUNG AMARAN AWAL F1 2022. KUASAI KEDUDUKAN 1-2 LITAR BAHRAIN

Ferrari kembali melaungkan amaran dalam saingan Formula Satu (F1) apabila kembali menguasai kedudukan juara dan naib juara di Grand Prix F1 Bahrain.

Charles Leclerc memenangi perlumbaan sulung 2022 manakala rakan sepasukan, Carlos Sainz di tempat kedua.

Kedua-dua pelumba Ferrari itu mengenepikan juara tujuh kali, Lewis Hamilton dari Mercedes yang menduduki tempat ketiga.

Juara bertahan, Max Verstappen terkeluar daripada perlumbaan kerana masalah elektrikal, dua pusingan sebelum tamat saingan, sekali gus melengkapkan hari buruk pasukan Red Bull.

George Russell yang beraksi dalam perlumbaan pertamanya sejak menggantikan Valtteri Bottas memberi permulaan baik buat Mercedes dengan berada di tangga keempat.

Bagi Leclerc yang lima kali bertukar kedudukan pendahulu dengan Verstappen pada dua pusingan pertama, kemenangan itu memberi kegembiraan yang besar.

“Ini cara yang sepatutnya untuk kami memulakan musim. Satu-dua, mamma mia,” kata pemandu Monaco itu di radio pasukan.

Ketika trofi sudah berada di tangan Leclerc berkata: “Saya sangat gembira. Kami tahu ini adalah peluang buat pasukan dan kami melakukan tugas hebat membina jentera yang menakjubkan.

“Satu-dua hari ini bersama Carlos – tiada yang lebih baik daripada itu. Ia menakjubkan untuk kembali ke kedudukan teratas.” –UTUSAN/F1

Google ads
Back to top button