Pandu Uji

PANDU UJI: VOLKSWAGEN ARTEON, GRAN TURISMO 3 DALAM 1.

Rekaan Volkswagen Arteon tak seperti jenama Volkswagen yang lain, ia ada karekter dan gaya yang tersendiri. Jika model lain Volkswagen kekal menggunakan rekaan berkotak, bersegi dan menggunakan rekaan motif yang tajam, Arteon pula tampil dengan rekaan garisan melarus seperti sebuah kereta sport klasik, lebar dan rendah persis jenama premium

Jika anda melihat Volkswagen Passat sebagai sebuah sedan 3 kotak klasik, rekaan Arteon diangkat menjadi lebih baik dan premium. Bahagian sisi tampil dengan rekaan fastback, dimana garisan bumbung ditarik ke belakang terus ke penutup bonet dengan agresif.

Penegasan rekaan diperkuatkan lagi dengan garisan bawah pintu yang berlekuk. Secara tak langsung bahagian perumah tayar akan terjojol keluar, menampilkan seolah-olah kereta ini berotot sasa dan lebar. Jeriji depan dibuat secara melintang dengan kemasan krom, menambahkan lagi imej lebar Arteon. Jadi dari jauh Arteon kelihatan lebar, rendah dan sporti.

Bahagian pintu pula tidak diberikan bingkai, menonjolkan imej sporti terutama bila pintu dibuka dan tingkap diturunkan. Secara keseluruhan Arteon tampil dengan rekaan sport eksekutif. Rekaan garang ini lengkap dengan enjin yang berkuasa dan transmisi DSG 7 kelajuan yang bertenaga dan lancar

Enjin 2000cc 4 silinder turbo menjana 276 kuasa kuda dan 350Nm tork, hampir menyamai angka-angka yang dihasilkan oleh Subaru Impreza dan juga Mitsubishi Evolution satu ketika dulu. Cukup kuat dan bertenaga, melebihi kuasa Golf GTi generasi terbaru

Apatah lagi dengan aturan sistem 4Motion pacuan semua roda yang menghantar semua kuasa enjin pada tayar depan dan belakang secara automatik jika diperlukan. Jadi penggunaan petrol kekal rendah, sekitar 12.8 per kilometer berbanding dengan yang diiklankan oleh Volkswagen iatu 13.3km per liter

Atas kertas angka 276 kuasa kuda dan 350Nm tork mungkin nampak biasa sahaja, tapi ia hadir sangat awal pada 1700 RPM sahaja sehingga 5600 RPM. Cuit sahaja pedal minyak dan Arteon akan meluncur deras ke depan dengan senyap dan bersahaja. Tak payah usik Arteon di jalan kanan, nanti anda kesipuan malu

Respon stering Arteon memang pantas dan menjadi semakin kurang agresif bila mencapai halaju tinggi. Sangat pantas bagi sebuah kereta dengan berat 1600kg. Gabungan sistem 4Motion dengan stering yag agresif menjadikan Arteon sangat lincah di lebuh raya dan jalan persekutuan

Dengan 350Nm dari seawal 1700 RPM, ia boleh mengubah kelajuan dari 120 ke 170 dalam sekelip mata, memintas kereta perlahan samaada di laluan kanan dan kiri. Secara jujurnya ia sedap dipandu laju secara bersahaja di laluan kanan lebuh raya.

Atau dipandu laju melebihi 2 kali ganda halaju kebangsaan samaada di laluan lorong kanan dan kekal laju di selekoh. Kereta biasa mungkin boleh mengekori Arteon di laluan lurus, tapi Arteon boleh mengekalkan halaju di laluan berselekoh, tanpa perlu membrek dengan bantuan 4Motion pacuan semua roda dan sistem XDS

Electronic Differential Lock mambantu mengalihkan kuasa ke tayar luar ketika selekoh diambil laju dan kuasa membrek dihantar ke tayar sebelah dalam secara automatik. Lontarkan sahaja Arteon di laluan berselekoh atau memintas halangan secara zig-zag, semuanya mudah bagaikan anda memandu Kancil turbo. Anda hanya perlukan sedikit keberanian dan percaya pada semua sistem.

Kuasa brek dihantar secara progresif, lembut tapi meyakinkan. Cuma sesekali bimbang kereta lain di belakang datang menyondol, risau tak sempat brek. Anda boleh mengubah karekter Arteon dengan Dynamic Chassis Control samaada Eco, Normal, Comfort, Sport atau Individual.

Eco mode akan memutuskan sambungan klac jika kita tidak menekan pedal minyak menjadikan RPM jatuh di bawah 1000 RPM. Comfort akan melembutkan sedikit penyerap hentakan menjadikan perjalanan lebih selesa.

Sport pula akan menghantar kuasa lebih awal, mengeraskan penyerap hentak, steering menjadi lebih cepat dan menghasilkan bunyi yang sporti bila pedal ditekan. Cuma penulis kurang pasti adakah bunyi itu asli atau dihantar ke pembesar suara.

Tapi bukan semua keadaan kita perlukan mode sport, kerana kalau setakat King yang kejar cukup sekadar mode Eco sahaja. Atau tetapkan pada mode Comfort dan nikmati ciri keselesaan berikut:

1. Ruang kargo belakang sebesar 563 liter, terbaik dalam kelas. Pintu ruang kargo boleh dibuka secara automatik dengan suis atau sensor. Pesaing lain menawarkan ciri sama dengan kos tambahan RM 4000

2. Sistem audio Harmon Kardon 700 Watt dengan 11 pembesar suara dan 1 subwoofer yang kualiti bunyi tak perlu diperkenalkan lagi. Sistem infohibur menyokong sambungan Apple Car Play atau Android Auto tanpa wayar, sehingga 2 telefon pintar dalam satu masa.

3. Penyaman udara 3 zone, termasuk penumpang belakang boleh melaraskan suhu sendiri. Ia dilengkapi dengan ciri Air Care Climatronic yang menapis partikel halus daripada beredar dalam kabin dengan sistem penapisan terbina dalam

4. Kusyen balutan kulit rekaan bucket, selasa walaupun agak keras. Ia dilengkapi dengan ciri urutan bagi pemandu menghilangkan lenguh pada bahagian pinggang. Ia boleh dilaraskan dengan 14 cara dan datang dengan 2 memori

5. 2 sambungan USB Type C bagi mengecaj telefon. Kalau ada pengecas tanpa wayar lagi bagus.

6. Ciri Digital Cockpit yang memuatkan paparan sistem Navigasi terbina dalam terus pada paparan meter.

7. Perehat tangan yang boleh dilaraskan ketinggian serta ditolak ke depan atau ke belakang

8. Anda boleh mengubah 30 tetapan warna lampu hiasan LED di papan pemuka dan panel pintu bagi menyamai warna tudung bini anda.

9. Lampu LED depan datang dengan ciri Cornering Function dan lampu kabus terbina dalam.

Dalam aspek keselamatan Arteon hadir dengan ciri Side Assist (amaran titik buta), sistem amaran lintasan belakang, rest assist (amaran jika pemandu letih), 7 beg udara, sistem ESC, Lane Keeping Assist dan brek automatik yang akan diaktifkan jika ia mengesan halangan sewaktu parkir.

Sayangnya Arteon tidak dilengkapi dengan brek kecemasan automatik, atau sistem pemanduan adaptif dengan ciri radar bagi membolehkannya dikelaskan sebagai kereta pandu sendiri tahap 2. Ia hanya hadir dengan ciri autocruise pasif yang biasa

Disebabkan kereta ini sangat besar iaitu dengan 4862mm panjang, 1871mm lebar serta jarak antara roda 2837mm (Innova 2750mm) maka ciri kamera 360 darjah sangat membantu penulis ketika parkir. Setiap kali parkir, Arteon pasti akan lebih sehingga 2 kaki dari petak parkir. Jadi jika anda memandu kereta ini memasuki parkir bawah tanah, ia akan jadi mimpi ngeri.

Semua ciri keselesaan, kemewahan, ruang kargo yang besar, dan ruang penumpang yang selesa melayakkan Arteon digelar Gran Turismo. Ia masih kekal sport, laju, lebih besar, lebih luas, lebih mewah dan selesa bagi kegunaan keluarga serta perjalanan jarak jauh.

Arteon pada pandangan kami ialah sebuah Gran Turismo yang berbaloi dibeli jika pemilik sebelum ini pernah memiliki sebuah Golf GTi, tapi telah berkeluarga. Mereka masih mahukan sebuah sedan dengan dinamik pemanduan yang sporti, bukannya SUV.

Jadi pilihan yang bagus sebenarnya ialah Arteon dimana mereka boleh pandu fastback ini ke mesyuarat, parkir di depan lobi hotel, dipandu untuk balik kampung, digunakan untuk bercuti atau sesekali masuk ke litar untuk melepaskan geram

Arteon memang sebuah kereta 3 dalam 1, cukup lengkap dengan semua pakej, ditawarkan pada harga RM 258,000 yang jauh lebih murah dari pesaingnya yang lain. Cuma anda kena terima hakikat, Volkswagen bermaksud “People Car” bukannya jenama dari Stuttgart atau Munich.

Google ads
Back to top button