Artikel Pilihan

FILEM TERBAIK YANG MEMAPARKAN AKSI LASAK DENGAN MOTOSIKAL

Bila kita menonton filem adegan kejar-mengejar dengan kereta selalu mendapat perhatian ramai. Malah filem itu sendiri biasanya biasanya bertemakan kereta ataupun perlumbaan kereta (yang halal dan juga yang haram).

Namun kadangkala ada juga diselitkan beberapa adegan kejar-mengejar motosikal yang tidak kurang hebatnya berbanding kereta. Kadangkala ia lebih mendebarkan.

Tidak semestinya ia sebuah filem mengenai motosikal tetapi memadai dengan satu adegan yang memaparkan gaya tunggangan yang ekstrim.

Ini merupakan filem pilihan dengan aksi motosikal yang luarbiasa sempat kami pilih.

JAMES BOND – SKYFALL (2012)

Adegan permulaan dalam semua filem James Bond adalah amat penting kerana ia akan memastikan debaran yang berterusan kepada para penonton sehingga akhir cerita. Penerbit juga akan sentiasa memastikan aksi-aksi terbaru adalah lebih hebat daripada filem-filem terdahulu.

Dalam filem Bond keluaran tahun 2012 ini, Bond dilihat memecut motosikal dalam adegan kejar-mengejar di atas bumbung bangunan sekitar Istanbul, Turki. Selain memecut laju beliau juga turut melompat dari bumbung ke bumbung, menunggang menerusi tingkap, menaiki tangga dan pada satu masa cuba menyaingi kelajuan sebuah keretapi.

Adegan ini memang memerlukan perancangan stunt ataupun lagak ngeri yang cukup rapi tetapi ia juga berjaya memastikan adegan pembukaan dengan aksi motosikal Bond kali ini adalah cukup berjaya dan mendebarkan.

BLACK RAIN (1989)

Mungkin tak ramai yang pernah menonton filem ini lakonan Michael Douglas dan diarahkan oleh Ridley Scott (pengarah filem Alien, Gladiator dan banyak lagi). Filem ini merupakan filem aksi yang mempunyai bukan satu tetapi dua aksi perlumbaan motosikal yang sangat menarik.

Satu di awal cerita dan satu lagi di penghujung cerita. Menariknya perlumbaan pertama berlangsung di New York di mana watak utama menyertai perlumbaan haram untuk hadiah wang tunai manakala perlumbaan kedua berlaku di Osaka, Jepun, di antara watak Douglas dengan watak penjahat filem ini yang bernama Sato. Ia merupakan perlumbaan dirt bike yang digarap dengan cukup baik oleh Ridley Scott.

BATMAN – THE DARK KNIGHT (2008)

Ini bukan adegan motosikal paling panjang dan hebat di dalam filem tetapi ia cukup menarik untuk menyaksikan Batman menggunakan motosikal dalam adegan kejar-mengejar dengan The Joker.

Lebih menarik lagi tentulah motosikal Batman itu sendiri yang digelarkan “Bat Pod” yang diceraikan daripada kenderaan utama Batman “Tumbler” dari filem ini.

Ia juga merupakan sebuah motosikal lengkap bersenjata dengan kuasa tembakan untuk memusnahkan semua halangan dari arah hadapan.

INDIANA JONES AND THE LAST CRUSADE

Filem ketiga siri Indiana Jones ini memaparkan adegan kejar-mengejar motosikal yang cukup menarik antara Jones dan tentera Nazi Jerman menggunakan motosikal vintaj era Perang Dunia Kedua, lengkap dengan side car.

Adegan ini yang dirakam di kawasan desa Perancis cukup menarik bila Jones dan ayahnya cuba melepaskan diri dari tentera Nazi yang bukan hanya menggunakan motosikal tetapi cukup mahir mengendalikannya.

Aksi Jones yang bersahaja selain kelakar memang membuatkan kita tidak akan kering gusi menontonnya. Malah bagi kami, adegan ini merupakan adegan terbaik dalam filem ini kerana inilah kali pertama Jones terlibat dalam kejar mengejar menggunakan motosikal.

TRON (1982)

Motosikal cahaya yang ditonjolkan dalam filem Tron memang lain dari yang lain. Kami memilih model asal kerana pada tahun tersebut idea tentang motosikal tersebut memang cukup gempak.

Zaman sekarang rasanya tiada siapa pun yang berasa pelik tentangnya. Perlumbaan antara motosikal cahaya dalam filem itu memang cukup menarik perhatian penonton apatah lagi dengan cara mereka mengambil selekoh dan mengelak dari melanggar satu sama lain memang cukup menarik.

KNIGHT AND DAY (2010)

Sebuah filem aksi komedi dengan adegan motosikal yang menarik lakonan Tom Cruise dan Cameron Diaz.

Adegan paling menarik ialah bila Diaz membonceng motosikal Cruise dan berkejaran dengan sekumpulan penjahat berkereta di celah-celah kotaraya Sepanyol.

Hampir keseluruhan adegan memaparkan aksi motosikal dengan kelajuan tinggi dan merbahaya disulami dengan tembakan dan sekumpulan lembu yang berlari laju (Apasal ada lembu?)

THE GREAT ESCAPE (1963)

Antara filem dengan adegan motosikal terbaik pernah dihasilkan. Filem ini menyaksikan aktor Steve McQueen menggunakan motosikal untuk melarikan diri dari kem tahanan perang dan dikejar oleh sekumpulan tentera Nazi.

Mereka telah berkejaran di sekitar kawasan pergunungan Eropah dan berakhir bila McQueen berjaya melompat halangan pagar kawat berduri sehingga membuatkan ramai penonton terpaku dengan mulut ternganga ketika itu.

Lebih mengagumkan bila ada laporan menyatakan yang McQueen melakukan sendiri adegan kejar mengejar tersebut termasuklah lompatan akhir itu. Hebat boh…

MISSION IMPOSSIBLE II (2000)

Diarahkan oleh pengarah filem aksi tersohor, John Woo, filem ini unik kerana memaparkan adegan aksi motosikal dalam gerak perlahan.

Ia menunjukkan motosikal-motosikal melakukan aksi-aksi mendebarkan dengan ketepatan ala tarian balet yang belum pernah kita saksikan sebelum ini. Memang gerek idea John Woo ni.

Tetapi sebagai sebuah filem aksi semestinya Woo akan turut memaparkan adegan dengan kelajuan sebenar dari semasa ke semasa sehingga membuatkan kita tidak senang duduk. Keunikan sebenar tentulah pada kehebatan Woo menggunakan teknik gerak perlahan yang cukup ikonik itu.

THE MATRIX RELOADED (2003)

The Matrix bukan hanya sebuah filem yang super hebat tetapi juga mempunyai aksi motosikal yang cukup dikagumi. Terdapat beberapa adegan motosikal dalam filem ini tetapi adegan terbaik ialah sewaktu watak Trinity (Carrie-Anne-Moss) memecut motosikal di celah-celah kesibukan lebuh raya dengan membawa Key-Master (watak sampingan).

Disulami dengan dengan muzik tekno, mereka memecut pada kelajuan yang memang tak tercapai dek akal. Jika itu masih belum mencukupi untuk anda, ada lagi tambahan elemen seperti senjata automatik, pedang samurai dan juga watak utama, Neo (lakonan Keanu Reeves) yang datang dengan gaya Superman. Memang inilah adegan pilihan kami dari semua filem Matrix.

TERMINATOR 2: JUDGEMENT DAY (1991)

Siapa mampu melupakan adegan kejar-mengejar dengan menggunakan motosikal dari filem sehebat ini lakonan Arnold Schwarzenegger dan Edward Furlong?.

Ia berlaku seawal permulaan cerita dengan watak Furlong menunggang dirt bike dan Schwarzenegger menunggang Harley-Davidson FatBoy. Keduanya memecut untuk melarikan diri dari watak Terminator jahat lakonan Robert Patrick yang memandu sebuah kepala treler di dalam saluran air konkrit dalam kesibukan bandar.

Kekuatan filem ini terletak pada sudut fotografi yang pada satu masa menunjukkan seolah-olah motosikal dan kepala treler tersebut hampir bersentuhan antara satu sama lain. Ianya cukup menarik, mendebarkan dan sukar dilupakan.

BACA: FILEM AKSI WAJIB TONTON TAHUN INI

BACA: TAHUKAH “THUNDERBOLT” PERNAH DIFILEMKAN DI LITAR BATU 3?

 

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button