Buletin

FORD RANGER SPLASH EDISI TERHAD – DIJUAL DI LAZADA, RM139K, ADA 19 UNIT SAHAJA

Sime Darby Auto ConneXion (SDAC) melancarkan Ford Ranger Splash Edisi Terhad ke pasaran tempatan. Pelancaran itu dibuat sempena Festival Beli-belah Lazada 11.11 tidak lama lagi.

Ford Ranger Splash Edisi Terhad didatangkan dalam warna hitam dan dilengkapi bar kangaroo, gril hadapan istimewa, penutup cermin sisi, bampar belakang, sports bar, roda aloi dan fender yang lebar.

Untuk memberi lebih kemudahan, Ranger Splash dipasang dengan sistem bayaran tol elektronik dan sistem kamera 360-darjah.

Pelekat logo “Ranger Splash” dengan warna fluorescent terang meyerlahkan lagi bahagian sisi trak pikap tersebut agar kelihatan lebih agresif dan sesuai dengan tema edisi terhadnya.

Ia menjadi trak pikap pertama di Malaysia yang dijual hanya melalui platform e-dagang. Model tersebut akan dipamerkan di bilik pameran Ford Petaling Jaya 2, Sime Darby Auto ConneXion.  

Sempena tahun 2019, hanya 19 unit trak pikap itu ditawarkan dengan semuanya akan dijual secara eksklusif melalui platform e-dagang Lazada pada 11 November 2019 semasa Lazada 11.11 Shopping Festival.

Jentera itu dijual pada harga RM138,888 dan boleh ditempah lebih awal melalui fungsi Chup Dulu dalam aplikasi Lazada.

Para pelanggan hanya perlu membayar yuran tempahan RM1,389. Bermula 28 Oktober hingga 10 November, para pembeli boleh “Chup” Ford Ranger Splash Edisi Terhad dengan membayar 10 peratus deposit yang tidak dikembalikan berjumlah RM139 menerusi aplikasi Lazada.

Baki yuran tempahan sebanyak RM1,250 pula perlu dibayar pada 11 November 2019 untuk mengesahkan tempahan. Yuran tempahan hanya boleh dikembalikan sekiranya bayaran penuh yuran tersebut telah dibuat dan kesemua 19 unit trak telah ditempah. 

Wakil Ford akan menghubungi para pembeli untuk menyelesaikan urusan pembelian mereka di mana-mana bilik pameran. 11 pelanggan pertama yang berjaya menyelesaikan pembelian mereka akan menerima PETRONAS Gift Card bernilai RM500 semasa penghantaran kenderaan.

Ford Ranger Splash menggunakan enjin diesel 2.0L Single-Turbo yang dipadankan dengan transmisi 10-kelajuan automatik. Ia mampu menghasilkan kuasa mencecah 180PS dan tork maksimum 420Nm.

Ford Ranger Splash sebenarnya bukanlah varian baharu bagi pasaran Malaysia. Ia pernah diperkenalkan pada penghujung tahun 1990-an dan bertanggungjawab memulakan budaya trak pikap gaya hidup dalam kalangan pengguna tempatan.

GALERI

Google ads
Back to top button