
GAMBAR INTIP: KIA RIO SEDAN GENERASI BAHARU SEDANG DIUJI. BAKAL BERSAING DENGAN VIOS, CITY (KALAU MASUK MALAYSIA)
Kia membuat kejutan dengan kemuculan Kia Rio generasi baharu, walaupun sebelum ini wujud khabar angin bahawa ia ingin menamatkan model itu di pasaran Eropah.
Baru-baru ini, Rio baharu dilihat sedang diuji di Sweden. Dari beberapa imej yang disiarkan, model itu menggunakan lampu hadapan nipis serta terdapat bukaan di fascia bawah.
Menjengah ke bahagian belakang pula, ia menampilkan lampu ekor berbentuk L dan ekzos trapezoid.

Untuk rekod, kali terakhir Kia mengemas kini Rio di Eropah adalah pada tahun 2020, di mana terdapat perubahan seperti lampu depan LED dan fascia hadapan pula telah direka semula.
Di ruang kabin, model itu menerima skrin infotainmen bersaiz 8.0 inci dan skrin 4.2 inci sebagai sebahagian daripada kluster instrumen.
Kia Rio 2020 dikuasakan rangkaian kuasa mild-hybrid yang dipadankan bersama enjin turbo pancitan terus 1.0 liter untuk meningkatkan tahap penjimatan bahan api.

Enjin tersebut mampu menghamburkan kuasa 100hp atau 120hp dan tork ditingkatkan sebanyak 16 peratus untuk varian 120hp.
Di Amerika Syarikat, Rio ialah antara kenderaan baharu yang paling murah dengan Sedan LX 2023 dijual pada hargaAS$17,505 (RM79,162).
Sementara, Rio S empat pintu dijual pada harga AS$18,145 (RM82,057) dan Kia Rio S Hatchback lima pintu boleh dibeli pada harga AS$18,445 (RM83,413).







