Buletin

GEELY PERKENAL CAO CAO 60 EV. JARAK GERAK 415KM, HARGA RM77K

Selang beberapa hari Geely melancarkan jenama baharu, Cao Cao Auto, syarikat itu tidak menunggu lama untuk memperkenalkan kenderaan pertamanya iaitu Cao Cao 60 yang berharga AS$17,500 (RM77,227).

Seperti dimaklumkan pada artikel sebelum ini, Cao Cao Auto akan menghasilkan kenderaan elektrik (EV) untuk kegunaan Cao Cao Mobility.

Menurut Geely, Cao Cao Mobility ialah platform ride-hailing yang memberi tumpuan kepada kenderaan tenaga baharu (EV + PHEV) dan merupakan yang pertama di China.

Mereka juga menawarkan perkhidmatan penyewaan kereta di lebih 62 bandar termasuk Beijing, Shanghai serta Guangzhou.

Cao Cao 60 dilengkapi bateri boleh tukar dengan jarak gerak 415km mengikut data CLTC dan mempunyai ruang but berkapasiti 500 liter.

Kereta itu juga didatangkan bersama ‘anti motion sickness technology’ serta menampilkan satu skrin LCD kecil di hadapan penumpang hadapan, manakala satu lagi skrin diletakkan di belakang.

Untuk rekod, sebelum ini Cao Cao Mobility menggunakan EV daripada Ruilan Auto dan Geometry hasil daripada perjanjian dengan Ruilan pada April 2022.

JALIN KERJASAMA BERSAMA BLACK SESAME TECHNOLOGIES

Dalam perkembangan berkaitan, Cao Cao Mobility turut menjalin kerjasama strategik dengan Black Sesame Technologies untuk mengkomersialkan teknologi pemanduan pintar termaju.

Black Sesame Technologies adalah pakar dalam membangunkan cip serta platform pengkomputeran berprestasi tinggi bagi pemanduan autonomi.

Cip A1000 Black Sesame Technologies didakwa sebagai cip pengkomputeran pemanduan autonomi pertama dibangunkan di China. Car News China melaporkan lebih 15 pembuat kereta telah membuat tempahan untuk cip siri A1000.

Menerusi kerjasama tersebut, Cao Cao Mobility juga memberikan ‘teaser’ keluaran baharu berasaskan Cao Cao 60.

Walau bagaimanapun, tiada perincian mendalam didedahkan, selain kereta itu bakal memiliki penderia di atas bumbung serta dibina berdasarkan platform pemanduan pintar Cao Cao.

GALERI:

Google ads
Back to top button