
JEPUN BAKAL SEDIAKAN LALUAN EKSPRESS KHAS UNTUK TRAK AUTONOMI – INI BARU NEGARA MODEN
Jepun bakal sediakan satu lorong khas di lebuh raya paling sibuk untuk kegunaan trak-trak autonomi. Satu persediaan yang cukup bijak untuk masa hadapan yang akan menyaksikan pertambahan kenderaan autonomi di atas jalan raya.
Media Jepun melaporkan yang laluan tersebut adalah sepanjang 100 kilometer di antara bandar Numazu dan Hamamatsu. Ia merupakan sebahagian daripada laluan ekspres terbesar yang menghubungkan Tokyo dan Nagoya dengan tiga lorong sebelah menyebelah dan cukup lurus menjadikannya lokasi yang paling sesuai untuk menguji trak dengan pemanduan autonomi.
Ia sebenarnya disasarkan untuk beroperasi sepenuhnya menjelang tahun 2024 dan tidak semudah yang disangka. Bukan main hantar je trak masuk ke laluan tersebut. Malah, laluan khas ini akan dilengkapi dengan pelbagai sensor dan kamera untuk mengawasi keadaan dan permukaan lebuhraya.

Sistem ini akan memberi amaran kepada trak terbabit jika terdapat sebarang objek di atas jalan raya dan memberikannya masa yang cukup untuk mengelak. Sudah tentu jaringan komunikasi 5G diperlukan untuk tujuan tersebut.
Dijangkakan laluan khas trak autonomi ini akan sibuk pada waktu malam dan ia juga merupakan sebahagian daripada rancangan teknologi penjimatan tenaga buruh yang diperkenalkan oleh PM Jepun, Fumio Kishida.
Keputusan juga akan dibuat sama ada kenderaan yang dipandu oleh manusia juga boleh menggunakan laluan tersebut.
Nikkei Asia turut melaporkan yang pembangunan infrastruktur pemanduan autonomi agak perlahan di Jepun kerana masalah perundangan dan kurangnya penjelasan tentang tahap autonomi dan infrastruktur jalan raya yang perlu ada untuk sokongan.
Kita bila lagi agaknya? Takkan asyik dengan bisnes bidaan nombor pendaftaran je kot? Opps.. Jangan marah aaa.






