Buletin

GOCAR MALAYSIA LANCAR PROGRAM ‘GOCAR EXPERIENCE’ UNTUK AION Y PLUS

GoCar Malaysia baru-baru ini telah melancarkan satu program pandu uji lanjutan baharu dikenali sebagai “GoCar Experience” yang dimulakan dengan model elektrik sepenuhnya AION Y Plus.

Pertama seumpamanya di dalam industri, GoCar Experience membolehkan pembeli berpotensi untuk membawa pulang dan menikmati pengalaman memandu AION Y Plus selama tiga atau tujuh hari.

Ini sekali gus membolehkan mereka mencuba EV tersebut secara lebih komprehensif sebelum membuat pembelian.

Kadar program GoCar Experience dengan AION Y Plus bermula RM399 untuk tiga hari dan RM899 bagi sesi pandu uji selama tujuh hari.

Kedua-dua pilihan itu merangkumi kredit pengecasan EV (RM20 untuk pandu uji selama tiga hari dan RM50 untuk tujuh hari) yang boleh diaktifkan menerusi GoCar mobile app.

Deposit sekuriti adalah sebanyak RM399 untuk kedua-dua pelan turut diperlukan, ia akan dikreditkan sepenuhnya dalam masa 7-14 hari bekerja sebaik sahaja kenderaan dipulangkan semula.

Apa paling menarik ialah yuran itu akan dipulangkan sepenuhnya kepada pelanggan yang mengambil keputusan untuk membeli kereta berkenaan selepas sesi pandu uji mereka.

Buat masa sekarang, program GoCar Experience hanya ditawarkan di AION Petaling Jaya. Mereka yang berminat boleh membuat tempahan dengan mengunjungi bilik pameran di Jalan Kemajuan atau menerusi GoCar Experience website.

Program ini terbuka kepada semua rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas, memiliki lesen memandu yang sah, serta orang asing dan ekspatriat dengan pas memandu antarabangsa.

Tempahan hendaklah dibuat 24 jam lebih awal. Kenderaan hanya boleh diambil dan dipulangkan di bilik pameran AION Petaling Jaya bermula Isnin hingga Ahad, 10.00am – 5.00pm.

Pada hujung minggu 24-25 Ogos 2024 ini, AION Petaling Jaya akan menganjurkan satu acara istimewa di mana pengunjung boleh meneroka AION Y Plus dan memahami dengan lebih mendalam mengenai kenderaan elektrik berkenaan.

Terbuka kepada orang ramai, acara itu menjanjikan pelbagai aktiviti menarik, termasuklah peluang menyertai cabutan bertuah “Tempah & Menang” yang menawarkan hadiah bernilai RM8,000.

Tempahan terawal akan diberi hadiah-hadiah eksklusif seperti kredit pengecasan sebanyak RM1,000, pengecas wallbox (tanpa pemasangan), set teater rumah atau peralatan berkhemah.

Mereka yang berminat dengan AION Y Plus juga boleh memandu uji sebentar sebelum menyertai program GoCar Experience.

Pengunjung juga boleh mengambil bahagian dalam cabaran permainan interaktif untuk memenangi hadiah istimewa.

Bagi menambah keseronokan, terdapat makanan dan minuman secara percuma daripada trak makanan, sekali gus menjadikannya satu aktiviti menarik untuk seisi keluarga serta peminat kereta.

Untuk maklumat lanjut atau menempah GoCar Experience dengan AION Y Plus, sila layari laman web https://experience.gocar.my atau hubungi bilik pameran AION Petaling Jaya di talian 03-7627 0379.

Google ads
Back to top button