Buletin

GRAB PERKENAL FOOD COURTS BY GRABFOOD. BANTU PENIAGA KECIL, TRADISIONAL TEMPATAN

Grab memperkenalkan Food Courts by GrabFood bagi membantu peniaga kecil dan tradisional mengambil bahagian dalam ekonomi digital serta mengembangkan perniagaan mereka.

Pengarah Urusan Grab Malaysia Sean Goh berkata inisiatif itu juga akan menyediakan pelbagai pilihan makanan tempatan dengan harga berpatutan kepada rakyat Malaysia.

Dia menambah ia juga dapat membantu digitalisasi serta meningkatkan penjualan untuk lebih banyak perniagaan kecil dan tradisional di seluruh negara.

“Medan selera dan pasar merupakan sebahagian besar daripada masyarakat kita yang menjadikan budaya unik walaupun sekatan pergerakan telah dilonggarkan, banyak perniagaan kecil masih terkesan akibat Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekali gus mengalami kerugian.

“Inilah sebabnya kami menumpukan usaha mewujudkan platform inklusif yang boleh digunakan bagi meningkatkan jualan mereka dalam keadaan kebiasaan baharu.

“Dengan rangkaian penghantaran yang boleh dipercayai dan komuniti pengguna yang besar di seluruh negara, kami berharap dapat memainkan peranan dalam membantu melestarikan budaya Malaysia yang dekat di hati kami,” katanya.

Kenyataan itu memaklumkan, dengan ‘Food Courts by GrabFood’, pelanggan kini boleh memesan daripada beberapa vendor berbeza di satu medan selera dan membayar hanya sekali bayaran penghantaran.

Ini membolehkan para pengguna menyokong kedai makan tempatan dengan harga berpatutan di samping masih mengamalkan penjarakan fizikal.

Perkhidmatan ini ditawarkan di medan selera di Lembah Klang, Pulau Pinang, Johor Bahru, Kuching, Kota Kinabalu, Melaka dan Ipoh.

Selain itu, Grab juga memperluaskan perkhidmatan ‘Pasar by GrabMart’ ke beberapa bandar lain selepas kejayaannya melancarkan ‘Pasar’ di Pasar TTDI apabila vendor yang menyertainya mendapat kenaikan purata dalam pesanan harian sebanyak 20 peratus. – Bernama.

Google ads
Back to top button