Buletin

GUNA SURAT RENTAS NEGERI SELUDUP KETUM BERNILAI RM50,000

Seorang penganggur yang mempunyai surat kebenaran merentas negeri pada tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mengambil kesempatan menyeludup 1,000 kilogram (kg) daun ketum dari Naka, Padang Terap, Sik, Kedah menuju ke Kelantan.

Kegiatan lelaki berusia 30 tahun itu terbongkar selepas dia ditahan di sekatan jalan raya (SJR) Ops Covid-19 di Jalan Jeniang-Sik pada pukul 3.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintenden Abdull Razak Osman berkata, pemeriksaan menemui 100 bungkusan plastik hitam mengandungi daun ketum seberat 1,000 kg dengan nilai pasaran kira-kira RM50,000.

“Daun ketum tersebut didakwa diperoleh daripada seorang pembekal di Naka pada harga RM10 sekilogram sebelum dijual di Kelantan pada harga RM40 hingga RM50 sekilogram,” katanya.

Menurut beliau, suspek juga mendakwa dia mengambil upah RM500 daripada seorang lelaki dari Kota Bharu untuk mengambil daun ketum berkenaan. 

“Dia mendakwa ini kali ketiga dia melakukan kegiatan tersebut dengan segala urusan lain termasuk membabitkan harga daun itu diuruskan individu berkenaan,” ujarnya.

Menurut Abdull Razak, suspek mendakwa mempunyai surat kebenaran merentas negeri dari Kelantan ke Kedah menerusi laluan Jeli-Gerik.

“Siasatan mendapati lori berkenaan menggunakan nombor pendaftaran palsu,” jelasnya.

Tambahnya, suspek positif dadah jenis methamphetamine, selain mempunyai rekod jenayah berkaitan kes dadah dan ketum.

Suspek direman selama empat hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952. – Utusan

Google ads
Back to top button