Buletin

SANGKUT PULA LORI, JEK HIDRAULIK TERANGKAT SENDIRI

Sebuah lori tiga tan tersangkut pada jambatan selepas bahagian meletak muatan lori tersebut terangkat dalam satu kejadian di Lebuh Raya Persekutuan menghala ke Pusat Beli Belah Mid Valley, Kuala Lumpur, semalam (Selasa).

Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur menerusi satu kenyataan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian tersebut kira-kira pada pukul 3.13 petang sebelum menggerakkan anggota ke lokasi.

“Seramai 10 anggota bersama sebuah jentera dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat Pantai telah dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi, anggota bertugas mendapati kejadian melibatkan sebuah lori tiga tan yang tersangkut pada jambatan dan terdapat seorang lelaki yang cedera pada bahagian tulang belakang,” katanya.

Difahamkan, kejadian berlaku selepas jek hidraulik lori tersebut dipercayai terangkat secara sendiri tanpa disedari oleh pemandu lori berkenaan yang mengakibatkan bahagian belakang lori tersangkut pada jambatan.

“Lelaki yang cedera itu kemudiannya dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya oleh EMRS untuk mendapatkan rawatan,” jelasnya – Kosmo!

Google ads
Back to top button