
GREAT WALL M4
GO Automobile Manufacturing (GO Auto) yang diberi lesen pengilangan kenderaan jenama Great Wall Motors (GWM) di Malaysia telah memperkenalkan tawaran terbaharunya pagi tadi.
Dikenali sebagai M4, SUV kompak itu bakal ditawarkan pada harga yang amat menarik untuk sebuah SUV iaitu bermula dari RM45,000 seunit! Ia turut hadir bersama jaminan selama tiga tahun dan perbatuan sejauh 100,000km (mana-mana tiba dahulu).
Tempahan boleh dibuat mulai esok di semua bilik pameran GWM di seluruh negara. M4 didatangkan dalam enam varian yang dibezakan menerusi kemasan sama ada Standard, Comfort atau Premium.
M4 dijana oleh unit enjin bersesaran 1.5 liter yang berupaya menjana kuasa sehingga 78kW dan tork maksimum 138Nm. Ia dipadankan bersama kotak gear automatik enam kelajuan atau manual lima kelajuan. Padanan itu didakwa mampu memberi penjimatan bahan api sekitar 6 liter untuk setiap 100km.
Semua varian M4 didatangkan dengan ciri-ciri seperti brek ABS, EBD, BA, dua beg udara, tingkap kuasa, sistem kemasukan tanpa kunci (varan tertinggi), roof rails, empat brek cakera, rim bersaiz 16 inci dan banyak lagi.
“Kami mensasarkan untuk menjual 1,200 unit M4 pada tahun ini. Bermula tahun depan, sasaran jualan adalah sebanyak 1,000 unit sebulan. GO Auto juga akan mengeksport M4 ke negara-negara ASEAN, bermula dengan Thailand dan Cambodia. Dijangkakan sebanyak 5,000 unit M4 dieksport ke dua-dua buah negara tersebut pada tahun 2015.
“Selain M4, SUV H6 juga akan diperkenalkan ke pasaran tempatan tidak lama lagi,” kata Ketua Pegawai Eksekutif GO Auto,” Ahmad Azam Sulaiman.
Jentera tersebut akan dipasang di kilang hasil pelaburan bersama GO Auto dan GWM bernilai RM2 bilion yang terletak di Gurun, Kedah. Kilang itu mampu mengeluarkan sehingga 50,000 unit M4 pada tahun ini.
Menjelang tahun 2018, kilang itu bakal mempunyai kapasiti pengeluaran mencecah 100,000 unit kenderaan yang terdiri daripada varian pemanduan sebelah kiri dan kanan. Dianggarkan 60 peratus daripada produksi itu akan dieksport ke negara-negara ASEAN. Bagi memperoleh manfaat AFTA, M4 kini memilki 40 peratus kandungan tempatan.
“Kami juga sedang membangunkan pusat R&D (Penyelidikan dan Pembangunan) untuk pembangunan model-model masa depan,” tambah Ahmad Azam.
Bagi meningkatkan keyakinan dan memudahkan urusan para pelanggannya, GO Auto turut mengumumkan bahawa pihaknya akan memiliki 65 pengedar, termasuk pusat 3S menjelang tahun 2018. Setakat ini, terdapat 20 pengedar kenderaan GWM di Malaysia.
Untuk melihat secara dekat atau memandu uji M4, sila kunjungi mana-mana bilik pameran GWM berhampiran anda.














