Buletin

HANS DE VISSER DILANTIK SEBAGAI PENGARAH URUSAN DAN CEO BAHARU BMW GROUP MALAYSIA. BERKUAT-KUASA 1 MEI 2021

BMW Group AG telah melantik Hans de Visser sebagai Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BMW Group Malaysia yang baru berkuat-kuasa 1 Mei 2021.

De Visser akan mengambil alih peranan dan tanggungjawab daripada Pengarah Urusan semasa, Harald Hoelzl yang akan memangku jawatan baharu di BMW Group AG.

De Visser memiliki pengalaman lebih 29 tahun dalam pelbagai fungsi di BMW Group. Beliau bermula sebagai Pengurus dalam Komunikasi Pemasaran di BMW Motorrad, Munich.

Sebelum jawatan semasanya di BMW Russia selaku Pengarah Pemasaran, de Visser telah berkhidmat menerusi pelbagai jawatan berbeza dalam bidang jualan dan pemasaran di banyak pasaran termasuklah di Asia Barat, Eropah Timur-Tengah, Sepanyol dan ibu pejabat BMW Group di Munich.

“Pengalaman luas Hans dalam bidang pemasaran dan jualan melibatkan pelbagai peranan, serta latar belakang antarabangsanya pasti dapat memberi manfaat besar dalam jawatan baharunya,” kata Naib Presiden Kanan Rantau Asia Pasifik, Eropah Timur, Timur Tengah dan Afrika BMW, Hendrik von Kuenheim.

Sepanjang berkhidmay di Malaysia, Hoelzl berjaya menerajui BMW Group Malaysia sehingga mencapai semula posisi No. 1 dengan penguasaan lebih daripada 52 peratus, paling tinggi buat BMW di seluruh dunia. 

BMW Group Malaysia telah mencatat pencapaian terbaik dalam Net Promoter Scoring (NPS) yang menyaksikan lebih 90 peratus pelanggan memberi maklum balas positif tentang pengalaman mereka dengan jenama BMW dan MINI pada tahun 2020. Ini merupakan pencapaian kedua terbaik yang dicatat dalam jaringan BMW Group.

Hoelzl juga berjaya menerajui BMW Group Malaysia untuk menjadi pembekal Mobiliti Berelektrik serta pemasang automotif keluaran tempatan nombor satu di Malaysia.

Google ads
Back to top button