Buletin

HAVAL H6 HEV RASMI DILANCARKAN DI MALAYSIA – HARGA BERMULA RM139K

GWM Malaysia hari ini secara rasmi melancarkan model SUV elektrik hibrid, GWM HAVAL H6 HEV untuk pasaran tempatan.

Sebagai kenderaan pemasangan tempatan (CKD) pertama daripada GWM Malaysia, SUV ini diyakini mampu menjadi SUV segmen-C berorientasikan keluarga yang sesuai dengan pengguna di Malaysia.

Haval H6 hibrid dibina berdasarkan platform LEMON dan mempunyai dimensi panjang 4,623mm, lebar 1,886mm, tinggi 1,730mm dengan jarak roda 2,738mm.

Model baharu ini mempunyai ruang kargo sebesar 560 liter dan mampu mencapai kapasiti sehingga 1,485 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat rata.

Dari segi penggayaan, ia hadir dengan rim aloi 19-inci, jeriji ‘Star Matrix’ serta unit lampu LED matriks.

Di bahagian dalam, Haval H6 HEV mendapat kemasan upholsteri kulit pada tempat duduk, papan pemuka dan stereng selain, pelarasan tempat duduk elektrik 8-hala untuk pemandu.

Perincian lain termasuklah kluster instrumen digital 10.25-inci, sistem infotainmen skrin sentuh 12.3-inci dengan ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto.

Dari segi kuasa, Haval H6 HEV dijana oleh enjin turbo 1.5 liter empat silinder dengan sokongan sistem hibrid, menghasilkan 145hp dan tork maksimum 230Nm, sementara kuasa gabungan motor elektrik berupaya menghamburkan kuasa 239hp dan tork 530Nm.

Kuasa itu disalurkan kepada roda menerusi kotak gear Dedicated Hybrid Transmission (DHT) dua nisbah kelajuan.

Haval H6 HEV dibekalkan ciri keselamatan aktif dan pasif, termasuk 6 beg udara, kawalan kestabilan elektronik, bantuan menuruni bukit dan bantuan permulaan bukit serta kamera 360 darjah.

Ciri ADAS moden seperti brek kecemasan automatik, amaran perlanggaran ke hadapan, kawalan pelayaran adaptif, amaran berlepas lorong dan bantuan terus lorong didatangkan sebagai standard.

Untuk harga pula, ia boleh dimiliki pada harga bermula RM139,800 dan tersedia dengan jaminan penuh kenderaan selama tujuh tahun/200,000 km, jaminan enjin selama 10 tahun atau satu juta km had perbatuan, serta jaminan lapan tahun atau satu juta km had perbatuan untuk komponen HEV.

Selain daripada tawaran pakej servis percuma selama lima tahun dan rebat RM3,000 untuk tempahan selewat-lewatnya 20 Oktober 2024, pemilik kenderaan GWM sedia ada juga boleh menikmati rebat tambahan bernilai RM3,000.

GALERI:

Google ads
Back to top button