
HONDA CUB E:, DAX E: DAN ZOOMER E: DIPERKENAL DI CHINA, GUNA BATERI!
Pernahkah anda terserempak dengan basikal elektrik Sundiro Honda yang diimport dari China? Memang comel bukan?
Terbaru Honda memperkenalkan tiga basikal elektrik (EB) sekaligus iaitu Cub e: DAX e: dan ZOOMER e: di Shanghai, China.
Apa yang menarik ialah ketiga-tiga model itu membawa pengaruh reka bentuk motosikal ikonik Honda iaitu Cub, Dax dan Zoomer dan tiga EB tersebut disasarkan kepada pengguna Generasi Z di China.
Di sana, motosikal elektrik dibahagikan kepada kita kategori iaitu Basikal Elektrik (EB) dengan kelajuan maksimum 25 kilometer sejam (km/j) dan ke bawah.
Dua lagi kategori ialah Moped Elektrik (EM) dengan kelajuan maksimum di antara 26 km/j hingga 50 km/j dan Kenderaan Elektrik (EV) dengan kelajuan maksimum 51 km/j dan ke atas.

Honda belum mendedahkan spesifikasi tiga model itu seperti bateri, kuasa dan sebagainya kecuali memaklumkan kesemuanya berada di dalam kategori EB.
Di China, EB semakin popular di kalangan Generasi Z sebagai pengangkutan dan juga simbol ekspresi dan dari situ wujud permintaan untuk model yang lebih menarik dan dengan nilai tambah.
Bukan sahaja di China, penulis yakin tiga model tersebut mampu menarik minat ramai di pasaran tempatan.
Tiga model tersebut ditugaskan sebagai perintis atau permulaan kepada sasaran Honda yang mahu memperkenalkan lebih sepuluh motosikal elektrik di peringkat global menjelang 2025.

Secara spesifik, Honda mahu memperkenal lima model EM dan EB kompak dan mampu milik bermula dari sekarang hingga 2024 di Asia, Eropah dan Jepun selain China.
Bagaimanapun, tiga model baharu ini tiada dalam perancangan untuk ditawarkan di Jepun.
Kembali kepada pendapat penulis di atas, bagaimana dengan pasaran tempatan? Setakat ini, basikal elektrik Sundiro Honda dibawa masuk oleh pengimport bebas dan bukan secara rasmi.
Apa pun perancanggannya, tiga EB ini memang comel!
BACA: HONDA LEGEND KC2, MODEL LEGEND TERAKHIR PADA 2021
BACA: HONDA N-WGN 2022 DENGAN KIT HONDA ACCESS! ADA 3 TEMA
BACA: HONDA BAKAL LANCAR VAN ELEKTRIK DARI N-VAN, JARAK PANDU 200KM!








