
HONDA AIRCRAFT COMPANY TAWAR PAKEJ PRESTASI UNTUK HONDAJET
Honda Aircraft Company baru-baru ini mengumumkan tawaran pakej prestasi untuk pesawat keluarannya, HondaJet HA-420.
Pakej yang dikenali sebagai Advanced Performance Modification Group (APMG) itu direka untuk membolehkan pemilik HondaJet meningkatkan prestasi pesawat masing-masing.
Antaranya ialah jarak landasan pelepasan lebih pendek, memaksimumkan berat pelepasan, naik taraf perisian avionik Garmin G3000 seperti pengiraan Take Off & Landing (TOLD) bersepadu, menambah baik ketersambungan dengan Flight Stream 510 dan banyak lagi.
“APMG membolehkan pemilik HondaJet sedia ada dan akan datang menikmati teknologi terkini, tanpa mengira bila mereka membeli pesawat ini,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Aircraft Company, Michimasa Fujino.
Honda Aircraft Company juga mengumumkan bahawa HondaJet dan HondaJet Elite baru sahaja menerima persijilan daripada Pengarah Penerbangan Awam India (DGCA).
Ini merupakan pengiktirafan terbaharu selepas HondaJet menerima sijil berkaitan daripada pihak berkepentingan di Amerika Syarikat, Mexico, Kanada, Brazil, Argentina, Panama dan Eropah.
Honda Aircraft Company telah membina rangkaian pengedar dan jualan sah demi menawarkan perkhidmatan serta sokongan terbaik kepada pelanggan Hondajet.
Dibina di ibu pejabatnya di Greensboro, North Carolina Amerika Syarikat, Hondajet merupakan pesawat yang paling banyak diserahkan dalam kelasnya pada tahun 2017 dan separuh pertama 2018.