Buletin

HONDA CBR1000RR-R FIREBLADE EDISI ULANG TAHUN KE-30 TAMPIL IKONIK, 213HP, HARGA BERMULA RM208K

Boon Siew Honda baru-baru ini memperkenalkan model perdana dalam segmen Supersports – CBR1000RR-R Fireblade Edisi Ulang Tahun ke-30.

Sejak diperkenalkan pada tahun 1992, Fireblade ikonik Honda berkembang menjadi yang luar biasa termasuk kemas kini dari segi enjin, pengendalian lebih baik, aerodinamik serta menggunakan teknologi casis RC213V-S.

Untuk edisi khas sempena ulang tahun ke-30, Honda kali ini mempertaruhkan peningkatan kuasa, rim berwarna emas, logo HRC baharu selain, diserlahkan skema cat ikonik.

Pertama sekali, sproket belakang kini hadir dengan 43 gigi sekali gus meningkatkan pecutan melalui gear dalam julat pertengahan sambil mengekalkan output rpm tinggi. Sementara, airbox serta intake funnels telah dibentuk semula untuk melancarkan aliran.

Ia turut dilengkapi dengan unit pengukuran inersia (IMU) enam paksi, Engine Brake, Wheelie Control, Start Mode, ciri Honda Selectable Torque Control (HSTC), serta fungsi penukaran gear pantas secara standard.

Selain itu, beban spring Throttle By Wire (TBW) juga dikurangkan untuk memberi tindak balas lebih baik.

Perincian lain termasuklah skrin paparan TFT 5-inci berwarna penuh (dengan paparan grafik permulaan Ring of Fire), logo edisi ulang tahun pada pelindung tangki, fob kunci dan ukiran laser pada peredam Akrapovic.

Tambahan, jentera ini turut menampilkan suspensi daripada Öhlins Smart Electronic Control, dengan brek depan dan belakang oleh Brembo.

Dari segi kuasa, Honda CBR1000RR-R Fireblade kekal dipacu oleh enjin empat silinder sebaris 1,000cc, menghasilkan 213hp pada 14,500rpm dan 113Nm tork pada 12,500rpm.

Honda CBR1000RR-R Fireblade SP tersedia secara eksklusif dalam Pearl Glare White dan boleh dimiliki pada harga RM208,800 tidak termasuk insurans serta pendaftaran.

GALERI:

Google ads
Back to top button