
HONDA ADV 350 LANCAR BULAN INI – RM39,800?
Honda ADV 350 telah pun debut pada 2021 namun sehingga kini kelibat skuter ‘adventure’ itu masih belum kelihatan di pasaran Malaysia.

Walaupun pelbagai laporan diterbitkan tahun lalu namun Boon Siew Honda (BSH) masih belum melancarkan model itu disini.
Bagaimanapun, dalam perkembangan terbaru, kami difahamkan ada pengedar yang telah mengiklankan ADV 350 tersebut di media sosial sebelum dipadamkan. Namun, kami sempat tangkap layar (screenshot) hantaran berkenaan untuk dikongsikan disini.

Menurut hantaran tersebut, Honda ADV 350 akan hadir dalam unit terhad dengan penyerahan akan dilakukan pada Jun 2024. Menariknya, hantaran tersebut turut menyatakan harga RM39,800 sekaligus meletakkan motosikal itu dalam kelas premium.
Tinjauan di media sosial mendapati ada yang mendakwa skuter tersebut akan dipamerkan BSH di Malaysia Autoshow yang akan berlangsung dari 22 hingga 26 Mei ini. Bagaimanapun, tiada pengesahan dari pihak BSH setakat ini.

Untuk rekod, ADV 350 merupakan skuter bercirikan ‘urban adventure’ yang diilhamkan daripada X-ADV 750.
Skuter 350cc ini juga mengekalkan ciri yang praktikal untuk kegunaan harian antaranya ruang letak barang bawah tempat duduk yang boleh memuatkan dua helmet ‘full-face’.




Menariknya, ADV 350 datang dengan pakej elektronik moden termasuk Honda Selectable Torque Control (HSTC) dan Emergency Stop Signal sebagai standard.
Sementara itu, ADV 350 ini digerakan enjin 330cc dengan eSP (enhanced Smart Power) yang menjana 29.2hp pada 7,500rpm dan 31.5Nm pada 5,250rpm.
Dilengkapi tangki 11.7L, ADV 350 ini pastinya sesuai untuk kegunaan harian dan tunggangan jarak jauh di hujung minggu.