Buletin

HANYA 1 UNIT TOYOTA LAND CRUISER DIJUAL PADA ’58, SEKARANG JADI LEGENDA

Sekarang ini Toyota berada di liga tiga teratas dunia dari segi jualan. Toyota memang hebat, kenderaannya ada di mana-mana dari pusat bandar sehingga ke lokasi terpencil dunia.

Sebelum berada di tahap sekarang, Toyota seperti jenama lain yang perlu menghadapi fasa permulaan.

Ini kisah menarik sewaktu Toyota mula bertapak di Amerika Syarikat.

Pada 31 Oktober 1957,  Toyota Motor Sales, U.S.A., Inc. membuka pusat pengedarnya yang pertama di Hollywood, California.

Jualan kenderaan bermula pada 1958 dan tahukah anda berapa unit yang terjual?

Hanya sebuah Toyota Land Cruiser dan 287 buah Toyopet Crown.

Itu adalah kisah lalu dan sekarang ini 10 juta unit Land Cruiser berjaya dijual dengan Australia sebagai pasaran utama.

Dari sebuah jip asas Land Cruiser kini menjadi SUV mewah dan hebat.

Walaupun sudah jauh berbeza, Land Crusier masih mengekalkan DNA klasik iaitu keupayaannya dalam keadaan mencabar selain daripada kualiti, boleh diharap dan tahan.

Dalam tempoh 70 tahun, satu model yang popular hingga kini ialah 40 Series atau FJ40.

Dari luar sudah jelas bahawa jip ini dibuat untuk kerja dan tahan lasak.

FJ40 pertama kali diperkenalkan di AS dan walaupun jualan Land Cruiser bermula dengan seunit, model terbaru itu melonjak kepada model Toyota paling laris pada 1965 sebelum diambil alih oleh Toyota Corona.

Meskipun jip lasak, FJ40 dibuat dengan gaya baharu seperti rekaan lebih membujur, bumbung putih dan overhang lebih pendek yang menghasilkan sebuah model lebih segar.

Toyota turut menambah baik proses pemasangan yang berjaya meningkat kualiti dan kemasan.

FJ40 menggunakan enjin enam sebaris berkuasa 125 hp dan tork 271 Nm. Model ini juga yang pertama dalam generasi Land Cruiser menggunakan transfer case dua kelajuan.

Teknologi itu berjaya meningkatkan keupayaan off-road dan turut menyumbang kepada karakter legenda Land Cruiser.

Jika FJ40 puluhan tahun tahun dulu menggunakan mekanikal, Land Cruiser 2020 pula jauh berbeza dengan teknologi elektronik dan radar.

Land Cruiser 2020 didatangkan standard dengan teknologi Toyota Safety Sense P (TSS-P) yang terdiri daripada Pre-Collision System with Pedestrian Detection, Lane Departure Alert with Sway Warning System, Automatic High Beams dan High-Speed Dynamic Radar Cruise Control (DRCC), Blind Spot Monitor dan Rear Cross Traffic Alert

Apabila dibuat perbandingan memang jauh berbeza dan menariknya jip legenda ini bermula dengan satu unit jualan sahaja.

Google ads
Back to top button